Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Noh Omar dilarang anjur acara di dewan guna namanya

Dua hari selepas dipecat Umno, bekas ahli parlimen Tanjung Karang Noh Omar merancang untuk mengadakan sesi pertemuan dengan para penyokongnya, di mana dia dijangka memberi penjelasan berkenaan perkara itu.

Namun, apabila penyokongnya dan media tiba di Dewan Tan Sri Noh Omar - dewan yang dinamakan atas dirinya yang terletak di Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang - hari ini, mereka disambut dengan notis penangguhan di pintu pagar.

Notis itu menyatakan acara itu, yang dijadual berlangsung pada jam tiga petang hari ini, terpaksa ditangguhkan atas "sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan".

Malaysiakini kemudian difahamkan yang ia ditangguhkan di saat akhir selepas pengurusan institut membatalkan tempahan dewan semalam.

'Arahan pihak atasan'

Setiausaha Umno Tanjong Karang Jasman Anuar yang bertanggungjawab menganjurkan pertemuan itu, mendakwa pihak institut diarahkan oleh pihak atasan untuk melarang Noh daripada menggunakan dewan itu.

"Dewan tak boleh digunakan. (Ada) arahan untuk (untuk halang Noh)," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya lagi, mereka juga terpaksa membatalkan tempahan makanan yang disediakan untuk kira-kira 300 hadirin.

Bagaimanapun Jasman berkata dia tidak menyalahkan pihak institut kerana membatalkan tempahan dewan dan faham bahawa mereka tiada pilihan.

"Daripada maklumat yang diterima, arahan daripada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). Mungkin lembaga juga terima arahan dari pihak lain.

"Saya rasa ini macam salah guna kuasa," katanya lagi.

Kata Jasmani lagi, mereka menjangkakan kehadiran yang besar kerana ramai penyokong Noh sudah setuju untuk hadir, terutama setelah apa yang menimpa bekas ketua Umno Tanjong Karang itu.

Institut Pengurusan Peladang berada di bawah LPP, yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Azli Hudin Zakaria dari Institut Pengurusan Peladang mengesahkan mereka terpaksa membatalkan acara itu.

Dia juga mengesahkan arahan diberikan oleh LPP malam tadi.

"Ya betul. Arahan dari ibu pejabat LPP.

"Saya tak boleh nak cakap kenapa (arahan dikeluarkan)," katanya kepada Malaysiakini.

Azli juga membangkitkan arahan kerajaan yang melarang program politik diadakan di premis kerajaan, namun pada masa sama mengakui Noh sering menggunakan dewan itu sebelum ini.

'Kita ikut pekeliling'

Ketua Pengarah LPP Azulita Salim ketika dihubungi juga enggan mengulas lanjut apabila ditanya jika lembaga itu menerima arahan daripada pihak atasan untuk melarang Noh menggunakan dewan itu.

Dia sebaliknya menjelaskan pekeliling kerajaan memang melarang acara politik diadakan di premis milik kerajaan.

"Sebenarnya ada pekeliling yang tak benarkan premis kerajaan digunakan untuk tujuan perhimpunan politik.

"Kita ikut pekelilinglah," katanya lagi.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu untuk mendapatkan respons berkenaan perkara ini.

Di sebalik larangan itu, Noh tetap pulang bertemu penyokongnya di tanjong Karang.

Dia memuat naik gambarnya bertemu orang ramai di laman Facebooknya malam ini.

"Tetap balik ke Tanjong Karang walau apa pun yang berlaku. Ini kampung saya.

"Menunaikan pelbagai jemputan kenduri dan pengebumian, berjumpa sahabat dan penduduk. Inilah yang saya sering lakukan selama ini.

"Terima kasih atas jemputan," katanya.

Lihat Komen
ADS