Jomo: Pelantikan Nurul Izzah bukan liabiliti
Pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim bukan satu liabiliti, kata pakar ekonomi, Jomo Kwame Sundram.
Jomo berkata, meskipun ramai tidak bersetuju dengan pelantikan itu, namun naib presiden PKR itu menunjukkan kebebasan politik serta dasar yang baik sepanjang karier politiknya.
"Saya juga tidak minat perdana menteri menjadi menteri kewangan. Saya juga tidak minat pelantikan ini (Nurul Izzah). Tetapi setelah mempertimbangkan semua hal, reaksi terhadap pelantikannya tidak wajar.
"Dalam dunia ideal, saya tidak akan menganjurkan ini. Tetapi dia memiliki tahap kebolehan yang banyak orang tidak tahu," katanya seperti dilaporkan The Edge.
Kelmarin media melaporkan Nurul Izzah yang juga bekas ahli Parlimen Permatang Pauh dilantik sebagai penasihat kanan bagi ekonomi dan kewangan kepada bapanya.
Pelantikan bagi jawatan berkenaan berkuat kuasa pada 3 Jan lalu.
Tindakan Anwar melantik Nurul Izzah itu bagaimanapun dikritik pelbagai pihak yang beranggapan ia `berbau’ nepotisme dan gagal memenuhi aspirasi tadbir urus yang baik.
Mengulas lanjut, Jomo yang pernah menjadi penasihat kepada Dr Mahathir Mohamad sewaktu menjadi perdana menteri berkata, dakwaan Nurul Izzah tidak layak untuk mengisi jawatan itu juga menggambarkan diskriminasi jantina dalam dunia politik Malaysia.
Bahkan katanya, bekas perdana menteri sebelum ini juga pernah membantu serta melantik anak dan menantunya.
"Bila perdana menteri keempat Abdullah Ahmad Badawi memilih menantunya Khairy Jamaluddin, saya tidak rasa banyak orang mengangkat masalah itu sewaktu dia (Khairy) mengendalikan 'tingkat keempat' tersebut.
"Begitu juga sewaktu Mahathir Mohamad membantu anaknya Mukhriz Mahathir dalam kerjaya politiknya, saya tidak dengar perkara ini di perkatakan. Adakah sesiapa yang bertanya tentang ini?” soalnya.
/file/1174/c321a613dec92945ab22fbe6c94d5f65.jpeg)
