Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih 15,000 kedai makan tawar Menu Rahmah pada harga RM5

Lebih 15,000 kedai makan dan restoran di seluruh negara menawarkan Menu Rahmah berharga RM5 bermula hari ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub.

Salahuddin ketika melancarkan Menu Rahmah di Mydin Subang, Selangor berkata kementerian itu pada mulanya menjangka menu berkenaan hanya melibatkan sepinggan nasi dengan ayam atau ikan dan sayur-sayuran.

Bagaimanapun katanya, ada peniaga yang lebih kreatif menghasilkan nasi ayam, nasi paprik, kuetiau, rojak dan roti john pada harga yang tidak melebihi RM5.

"Kita cadangkan RM5, itu harga paling munasabah bila kita mengkaji tentang bahan mentah. Saya faham peniaga juga sacrify dengan harga yang ada.

"Setakat ni ada 12,000 kedai mamak, 800 persatuan pengusaha restoran India (Primas) dan 500 kedai tom yam sekitar KL dan Mydin seluruh negara menyediakan menu rahmah.

"Ini tak termasuk libat urus bersama pengusaha kaum Tiong Hua," katanya.

Selain Primas, kerajaan turut melibatkan Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura (MCSPGA) dalam inisiatif Menu Rahmah.

Salahuddin berkata kerajaan setakat ini tidak bercadang memberikan subsidi bagi mengurangkan beban pengusaha kedai makan, sebaliknya mungkin memberi insentif kepada pengusaha yang terlibat dalam memperkenalkan menu berkenaan.

Untuk rekod, menu rakyat 1Malaysia (MR1M) diperkenalkan ketika pentadbiran perdana menteri Najib Razak dengan kadar RM4 pada Julai 2011.

Dilaporkan program MR1M dihentikan secara senyap-senyap oleh pengusaha restoran pada 2014 kerana tidak dapat menampun peningkatan kos.

"Mereka boleh beritau kita, kita ada persatuan, kalau mereka sanggup mereka boleh terus, tapi saya juga pernah niaga restoran suatu waktu dahulu, margin tu masih ada.

"Kita akan perhatikan dan kita akan sentiasa dengar daripada persatuan, nanti kita boleh bincang dari semasa ke semasa," katanya.

Menurut Salahuddin terdapat hampir 127,000 orang miskin tegar di seluruh negara ketika ini.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata dia percaya golongan berkemampuan tidak akan mengambil kesempatan memilih Menu Rahmah kerana boleh membeli sajian lain.

Lihat Komen
ADS