Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zafrul sahkan mahu bertanding jawatan MKT Umno
Diterbitkan:  Feb 1, 2023 8:45 PM
Dikemaskini: 12:45 PM

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz, hari ini mengesahkan beliau sedang mengintai kerusi dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dalam pemilihan parti itu tidak lama lagi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu dipetik Astro Awani sebagai berkata, langkah itu perlu bagi membolehkan dia membina asas politiknya dalam jangka panjang.

“Jika saya diberi peluang, saya dengan rendah hati menawarkan diri untuk bertanding jawatan dalam MKT Umno untuk terus menyumbang kepada parti,” katanya.

Landskap politik yang semakin dinamik, katanya, mewujudkan ruang untuk persaingan yang sihat dan membina.

Tambah tokoh perbankan yang dibawa masuk menyertai kerajaan oleh Muhyiddin Yassin itu lagi, Umno adalah sebuah parti berpengalaman dan memiliki pemimpin yang matang untuk mengharungi jatuh bangun dalam arena politik.

“Justeru, saya percaya pemimpin dan akar umbi parti mahu melihat gabungan kepimpinan yang lebih dinamik dengan latar belakang yang pelbagai bagi memastikan proses pengukuhan parti selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dapat dicapai.

Pada PRU ke-15 baru-baru ini, Tengku Zafrul menjadi calon Umno-BN untuk cuba merampas kerusi parlimen Kuala Selangor daripada PH. Bagaimanapun dia gagal mengetepikan penyandang, Dzulkefly Ahmad.

Walaupun kalah, dia dilantik sebagai senator dan diberi tempat dalam kabinet oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pada 14 Jan, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa Tengku Zafrul akan mengetuai Selangor pada pilihan raya negeri yang semakin hampir.

Sementara itu, sumber yang rapat dengan Umno memberitahu Malaysiakini, Tengku Zafrul mungkin bertanding di kawasan dewan undangan negeri (DUN) di bawah kerusi parlimen Kota Raja.

“Terdapat perbincangan untuk membawa Tengku Zafrul ke salah satu DUN di bawah Kota Raja.

“Tengku Zafrul juga telah menukar keahlian Umno kepada bahagian Kota Raja bulan alu. Tetapi peringkat atasan (kepimpinan parti) akan tentukan kerusi mana yang akan ditandinginya,” tambah sumber berkenaan.

Untuk rekod, terdapat tiga DUN di bawah Kota Raja - Sentosa, Sungai Kandis dan Kota Kemuning. Ketiga-tiga kerusi itu kini dikuasai PH.

Satu lagi sumber memberitahu Malaysiakini bahawa bekas menteri kewangan itu telah disenarai pendek untuk sama ada kerusi Sungai Kandis atau Kota Kemuning.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS