Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penamatan projek HSR: Dua bekas PM diarah fail penyataan pembelaan

Dua bekas perdana menteri dan tiga yang lain mempunyai masa sehingga 28 Feb untuk memfailkan pernyataan pembelaan mereka terhadap tuntutan undang-undang berhubung pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) bernilai RM110 bilion antara Malaysia dan Singapura.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi arahan itu awal hari ini semasa pengurusan kes writ saman oleh warganegara Malaysia Mohd Hatta Sanuri terhadap Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin serta tiga defendan lain.

Tiga defendan lain adalah bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), bekas menteri pengangkutan Wee Ka Siong dan kerajaan Malaysia.

Ketika dihubungi media, peguam Mohaji Selamat, yang mewakili plaintif Hatta, mengesahkan arahan yang dikeluarkan mahkamah itu.

Mahkamah juga menetapkan 28 Mac untuk plaintif memfailkan jawapannya kepada pihak pembelaan, serta menetapkan 30 Mac untuk pengurusan kes lanjut mengenai perkara itu.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Hatta memfailkan tindakan undang-undang yang memohon perintah mahkamah untuk memulihkan projek itu serta menuntut lima defendan membayar pampasan RM1 juta kepada setiap warganegara Malaysia.

Hatta menjadi tumpuan sebelum ini berhubung tindakan undang-undang terhadap kerajaan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menganugerahkan kedaulatan Singapura ke atas Pedra Branca (Pulau Batu Puteh).

Menurut kenyataan tuntutan tindakan terbaru yang dilihat Malaysiakini, Hatta mendakwa Mahathir cuai dan melakukan kesalahan penyelewengan dalam jawatan awam apabila perdana menteri ketika itu membuat keputusan untuk menangguhkan projek HSR pada 5 Sept 2018, yang didakwa mengakibatkan Malaysia membayar pampasan RM46 juta kepada Singapura pada 31 Jan, 2019.

Plaintif mendakwa bahawa Muhyiddin, juga melakukan kecuaian dan penyelewengan dalam jawatan awam, sebagai perdana menteri ketika itu, dengan menamatkan projek HSR pada 31 Dis 2020, dan ini menurutnya menyebabkan Malaysia membayar lebih RM320 juta sebagai pampasan kepada Singapura pada 2021 untuk pembatalan perjanjian dua hala antara kedua-dua negara.

Sebelum ini pada 1 Jan 2021, media melaporkan kenyataan media bersama oleh perdana menteri ketika itu Muhyiddin dan Perdana Menteri Singapura Lee Shien Loong berhubung pembatalan projek HSR.

Hatta mendakwa Mustapha juga cuai dan melakukan penyelewengan dalam jawatan awam berhubung penangguhan projek itu dan Wee juga didakwa sama cuai dan melakukan penyelewengan dalam jawatan awam berhubung pengurusan projek itu.

Plaintif mendakwa bahawa antara kerugian yang dialami oleh semua rakyat Malaysia berikutan penamatan projek HSR, adalah hilangnya keyakinan pelabur asing terhadap negara; kehilangan 70,000 pekerjaan berpotensi bergaji tinggi daripada projek itu; kehilangan peluang untuk memperoleh keuntungan RM70 bilion daripada pembinaan, operasi HSR serta lebih RM366 juta kerugian akibat Malaysia membayar pampasan kepada Singapura.

Melalui tindakan undang-undang sekarang, plaintif memohon beberapa relif, antaranya pengisytiharan untuk menarik balik pembatalan projek HSR.

Hatta memohon pengisytiharan untuk memaksa defendan membayar RM1 juta sebagai ganti rugi dan pampasan kepada setiap warganegara Malaysia.

Plaintif juga memohon perintah mahkamah untuk memaksa lima defendan memberi penjelasan bertulis berhubung sebab penangguhan dan pembatalan projek.

Jabatan Peguam Negara telah mewakili semua lima defendan terhadap tindakan undang-undang itu.

Pada 22 Ogos tahun lepas, perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob menyatakan minat untuk mempercepatkan pemulihan projek HSR dengan Singapura secepat mungkin.

Ini berlaku selepas kenyataan yang dikeluarkan oleh rakan sejawatannya dari Singapura Lee pada 29 Nov 2021, yang berkata dia terbuka kepada idea cadangan projek baru.

Kedua-dua negara pertama kali menandatangani perjanjian dua hala mengenai HSR pada 13 Dis 2016, semasa pentadbiran Najib Razak.

Projek bernilai RM110 bilion yang melibatkan pembangunan sepanjang 350km itu bertujuan memendekkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura kepada hanya 90 minit.

Pada 13 Dis tahun lepas, Bernama melaporkan kerajaan negeri Johor menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan berhubung kemungkinan pemulihan projek itu.


Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan dua bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta tiga lagi memfailkan pernyataan pembelaan dalam saman berhubung penamatan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) selewat-lewatnya 28 Feb ini.

Selain Dr Mahathir dan Muhyiddin, turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan kerajaan.

Peguam Mohaji Selamat, mewakili plaintif Mohd Hatta Sanuri, 47, berkata mahkamah juga mengarahkan anak guamnya memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan pada 28 Mac.

"Pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 30 Mac ini," katanya ketika dihubungi selepas pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nur Shasha Hidayah Nor Azahar secara dalam talian hari ini.

Tindakan saman itu difailkan Mohd Hatta pada 30 Dis tahun lepas, mewakili dirinya dan lebih 32 juta rakyat Malaysia yang terkesan dan kecewa dengan pembaziran yang telah dilakukan oleh kesemua defendan.

Dalam pernyataan tuntutan, Mohd Hatta selaku plaintif mendakwa Dr Mahathir, yang ketika itu Perdana Menteri ketujuh telah melakukan kecuaian dan menyalah guna jawatan awam apabila mengambil keputusan menangguhkan projek HSR, menyebabkan kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia perlu membayar pampasan kepada Kerajaan Singapura hampir RM46 juta.

Plaintif juga mendakwa Muhyiddin, yang ketika itu Perdana Menteri kelapan turut cuai dan menyalah guna jawatan awam apabila menamatkan projek berkenaan sehingga kerajaan dan semua rakyat Malaysia termasuk plaintif selaku pembayar cukai perlu mengeluarkan wang RM320,270,519.24 sebagai pampasan pembatalan Perjanjian Dua Hala antara Malaysia dan Singapura yang dipersetujui.

Dakwa plaintif, Mustapa, yang bertanggungjawab dalam menguruskan projek itu telah melakukan kecuaian ketika menangguhkan projek tersebut sehingga menyebabkan wang negara perlu dikeluarkan sebanyak RM46 juta.

Selain itu, Mohd Hatta mendakwa Wee juga cuai semasa menguruskan projek tersebut yang merupakan pengangkutan awam bagi rakyat Malaysia sehingga mendatangkan kesusahan dan kerugian berjumlah RM46 juta dan RM320,270,519.24 kepada rakyat Malaysia sekali gus menafikan hak rakyat untuk menikmati sistem pengangkutan kelas pertama di peringkat antarabangsa yang pantas, selamat dan murah.

Pada 1 Jan 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan projek HSR sejauh 350 kilometer kerana kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Dis 2020.

Sehubungan itu, Malaysia telah membayar S$102.8 juta (RM320.27 juta) kepada Singapura untuk kos yang ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan pelanjutan penggantungannya.

Lihat Komen
ADS