Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM cadang pihak swasta, GLC bekerjasama perkasakan TVET

Dalam usaha memperkasakan bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET), Perdana Menteri Anwar Ibrahim mencadangkan penglibatan serta kerjasama pihak swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diperhebatkan.

Anwar berkata ia adalah penting untuk memenuhi keperluan industri serta menyelesaikan sebahagian masalah seperti mismatch (salah padan) atau latihan yang tidak diperlukan oleh industri serta kemudahan yang tidak memuaskan.

"Saya mengusulkan supaya ada langkah segera, kita ada kajian dan jawatankuasa untuk memastikan anak-anak dilatih dan mendapat pekerjaan dengan pendapatan yang munasabah," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet di Putrajaya hari ini.

Anwar mencadangkan syarikat swasta atau GLC mengambil alih institusi TVET atau institut latihan yang ada.

Sebagai contoh katanya institut latihan di Pengerang, Johor boleh diambil alih oleh Petronas untuk melatih, mengurus dan menggunakan kepakaran bagi memenuhi keperluan mereka.

Pihak DRB-Hicom pula boleh mengambil alih institusi bidang automobil di Pekan, Pahang, manakala kumpulan Sunway dan Berjaya untuk latihan perhotelan, pelancongan dan perkhidmatan umum.

Selain itu, tambah Anwar, kelompok daripada syarikat perniagaan yang dimiliki Syed Mokhtar Al-Bukhary juga boleh mengambil sebahagian TVET atau institut latihan.

Perdana menteri berkata jawatankuasa kabinet berkaitan TVET akan mengambil langkah-langkah tambahan termasuk mengenal pasti syarikat swasta yang boleh membantu usaha kerajaan.

"Ini satu keputusan yang besar dan kita minta tindakan diambil segera, dan selainnya kita akan jelaskan dalam belanjawan (semakan semula Belanjawan 2023) pada 24 Feb ini," kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Menurut ahli parlimen Tambun itu lagi, peruntukan TVET mengikut belanjawan tahun lepas ialah RM6.7 bilion merangkumi pelbagai kementerian, jabatan dan agensi serta 500 institut kemahiran latihan awam dengan pelatih atau pelajar sekitar 250,000 orang.

Anwar berkata usaha memperkasakan TVET juga melibatkan pelbagai kementerian dan jabatan seperti Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia dan Giatmara.

- Bernama

Lihat Komen
ADS