Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan negeri digalak calonkan tapak baru Ramsar
Diterbitkan:  Feb 2, 2023 5:52 PM
Dikemaskini: 9:52 AM

Semua kerajaan negeri digalakkan untuk mencalonkan kawasan tanah lembap yang berpotensi sebagai tapak Ramsar yang baru, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad sempena sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia 2023.

Dalam perutusan sempena sambutan bertemakan It’s Time For Wetland Restoration hari ini, Nik Nazmi juga menyeru semua pengurus tapak Ramsar di negara ini untuk memperkasakan lagi pengurusan tapak masing-masing selari dengan objektif Konvensyen Ramsar.

Malaysia meratifikasi Konvensyen Ramsar pada 10 Mac 1995 dan sebanyak tujuh kawasan tanah lembap telah diiktiraf sebagai Tapak Ramsar iaitu Tasek Bera di Pahang; Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Sungai Pulai di Johor; Kuching Wetlands National Park di Sarawak serta Lower Kinabatangan-Segama Wetlands dan Kota Kinabalu Wetlands, Sabah.

Nik Nazmi berkata ekosistem tanah lembap memainkan peranan yang penting dan semula jadi dalam keterjaminan makanan, mitigasi dan kestabilan iklim di samping berfungsi sebagai pemecah ombak, mengurangkan kesan banjir, pemerangkap sampah dan habitat kepada flora dan fauna termasuk spesies terancam.

"Saya harap kerjasama semua pihak untuk memastikan ekosistem tanah lembap kita kekal terpelihara.

"Inilah masanya untuk mengukuhkan usaha, menggalakkan keterlibatan masyarakat setempat dan menggerakkan penyelesaian ke arah melindungi dan memulihara ekosistem tanah lembap demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS