GLOBAL | Indonesia bakal melancarkan bursa mata wang kripto pertama di dunia yang disokong oleh pemerintah negara itu.

Dipetik oleh Kompas, Menteri Perdagangan, Zulkifli Hasan berkata, pelancaran platform exchanger mata wang kripto itu dijangka dilaksanakan sebelum Jun 2023.

Menurutnya, pelancaran bursa kripto berkenaan bakal menggalakkan penyusunan industri aset kripto di negara itu.

"Mudah-mudahan sebelum Jun 2023 kita sudah punya bursa kripto, akan dilancarkan bursa kripto Indonesia,” katanya dalam Majlis Perasmian Bulan Literasi Kripto di Jakarta, pada Khamis.

Zulkifli berkata ketika ini penciptaan bursa kripto masih dalam proses, selaras dengan langkah pemerintah menarik balik penggantungan sementara atau moratorium pengeluaran permit untuk pendaftaran bakal pedagang fizikal aset kripto (CPFAK).

Katanya, pada masa ini terdapat 25 syarikat exchanger yang telah mendaftar dengan Agensi Kawal Selia Hadapan Komoditi sebagai pedagang aset digital.

Daripada jumlah itu, katanya, lima syarikat dikenal pasti berpotensi menyertai bursa kripto tersebut.

“Sekarang ini ada persiapan, ada 25 yang sudah mendapat kebenaran dan lima yang aktif, kita cuba buat semacam konsortium (sebagai bursa kripto) aktif,” katanya.

Dengan adanya bursa kripto itu, industri aset kripto di republik itu akan lebih teratur, katanya.

Tambahnya, pendidikan berkaitan kripto juga akan dijalankan secara intensif supaya orang ramai dapat memahami risiko melabur dalam industri itu, dan bukan hanya tertumpu kepada keuntungan semata-mata.

"Harapannya kripto lebih diketahui umum, faham apa itu perdagangan kripto, bursa kripto, peluang dan risikonya difahami betul," katanya.