Khaled mahu pertahankan jawatan naib presiden Umno
Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin hari ini mengesahkan dia akan mempertahankan jawatan berkenaan pada pemilihan parti yang diadakan tidak lama lagi.
“Saya kekal mempertahankan jawatan (Naib Presiden Umno),” katanya ringkas kepada pemberita selepas merasmikan majlis prapelancaran Universiti UCSI Kampus Cawangan Bangladesh di Kuala Lumpur hari ini.
Dua lagi penyandang naib presiden ialah bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dan Mahdzir Khalid.
Sementara itu di JOHOR BAHRU, Ketua Pemuda Umno Johor Mohd Hairi Mad Shah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda Umno.
Ahli Dewan Undangan Negeri Larkin itu berkata langkah permulaanya ke peringkat nasional itu mendapat persetujuan daripada pucuk pimpinan bahagian dan negeri, selain Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.
“Saya akan cuba memastikan ada kesinambungan, sekali gus membawa imej pemuda yang sentiasa lantang bersuara untuk kepentingan rakyat,” katanya yang juga Ketua Pemuda Umno Johor Bahru ketika ditemui baru-baru ini.
Ketua Pemuda Umno Johor sejak 2018 itu berkata bagi jawatan berkenaan, dia dijangka berentap dengan anak Najib Razak iaitu Mohd Nazifuddin dalam saingan tiga atau empat penjuru.
Jawatan Naib Ketua Pemuda Umno disandang oleh Shahril Sufian Hamdan sebelum dia digantung oleh parti selama enam tahun baru-baru ini.
Pemilihan Umno diadakan bermula pada 1 Feb hingga 18 Mac ini dengan persidangan tahunan cawangan dan pemilihan jawatankuasa cawangan, wanita, pemuda dan puteri cawangan ialah antara 1 hingga 26 Feb ini.
Selain itu, mesyuarat perwakilan dan pemilihan jawatankuasa Wanita Umno, Pemuda dan Puteri Umno bahagian bersama pemilihan exco Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Pusat diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac ini.
Mesyuarat perwakilan dan pemilihan jawatankuasa Umno bahagian bersama pemilihan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac ini.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/65751eb21d48bc72252e5500dd794742.jpg)
