PKR bahagian Kulim-Bandar Baru semakin celaru...
Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahagian Kulim-Bandar Baru di Kedah semakin bercelaru apabila dua kumpulan yang bertelagah masing-masing menuduh antara satu sama lain.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahagian Kulim-Bandar Baru di Kedah semakin bercelaru apabila dua kumpulan yang bertelagah masing-masing menuduh antara satu sama lain.
Ketua bahagian itu yang lama, Alwi Yusof berkata, beliau masih menjadi ketua bahagian setelah terpilih dalam mesyuarat bahagian tersebut yang diadakan di Kampung Sedim pada petang Jumaat lalu.
Bagaimanapun, kumpulan penyokong bekas timbalan ketua Angkatan Mudanya, Adlizuan Shafizal Abdul Razak mendakwa mesyuarat tersebut tidak sah kerana mendakwa cuma 10 ahli yang hadir, sedangkan syarat sah mesyuarat mesti dihadiri sekurang-kurangnya 30 ahli.
Berikutan itu, keesokan harinya, kumpulan tersebut mengadakan satu mesyuarat lagi dan melantik Adlizuan sebagai ketua PKR bahagian Kulim- Bandar Baru yang baru.
Bagaimanapun, Alwi yang juga Timbalan Pengerusi Dua PKR Kedah, ketika dihubungi berkata, seramai 32 ahli menghadiri mesyurat di Kampung Sedim yang memilih semula beliau sebagai ketua bahagian.
Sebaliknya, beliau mendakwa mesyuarat kumpulan penyokong Adlizuan tidak sah kerana tidak mendapat restu PKR negeri.
"Kumpulan satu lagi itu tidak lebih daripada mahu memecahbelahkan perpaduan parti di bahagian Kulim-Bandar Baru.
'Tiada pemantau'
"Tidak ada pemantau dari PKR negeri yang memantau bahagian tersebut dan ini sekaligus bermakna mesyuarat itu tidak sah," katanya.
Mesyuarat PKR Kulim-Bandar Baru, pada mulanya dijadualkan diadakan pada 17 Mac lalu tetapi ditangguh pada saat-saat akhir atas alasan masalah teknikal.
Manakala Adlizuan pula berkata, mesyuarat di Kampung Sedim tidak mendapat persetujuan dua pertiga ahli jawatankuasa PKR bahagian Kulim-Bandar Baru dan tidak cukup korum.
Sementara itu, Setiausaha Perhubungan PKR Kedah, Abdul Hamid Othman ketika dihubungi berkata, beliau yang hadir sebagai pemantau dalam mesyuarat pertama di Kampung Sedim, terpaksa pulang awal kerana berlaku pertengkaran di antara dua kumpulan terbabit sebelum mesyuarat bermula.
"Saya dan enam ahli keturunan Cina terpaksa meninggalkan mesyuarat kira-kira jam 6 petang kerana bimbang berlaku perkara yang tidak diingini," katanya.
Abdul Hamid juga berkata, beliau tidak dipanggil untuk menjadi pemantau dalam mesyuarat kedua di pejabat PKR bahagian Kulim-Bandar Baru yang diadakan pada keesokannya.
Berikutan itu, katanya, pihaknya akan mendapat laporan dari bahagian tersebut sebelum dihantar ke Ibu Pejabat parti di Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

