Gerakan reformasi ubah lanskap politik Msia, kata Wan Azizah
Gerakan reformasi yang disinarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada penghujung 1998 telah mengubah lanskap politik Malaysia, kata Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Gerakan reformasi yang disinarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada penghujung 1998 telah mengubah lanskap politik Malaysia, kata Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Bangsa Malaysia kembali dikejutkan dari lamunan politik berasaskan kaum yang sempit dan keghairahan mengejar kemajuan kebendaan hingga melupakan aspek kemuliaan insan," katanya.
Dalam perutusannya sempena ulangtahun penubuhan Parti Keadilan Nasional esok, beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, berkata setiap kali tanggal 4 April tiba, ingatan khususnya di kalangan penggerak dan aktivis parti, akan segera mengimbas kenangan lapan tahun yang lalu.
"Di saat itu kebangkitan suara rakyat sedang melata, semua pihak tidak kira kedudukan, umur, kaum, gender, dari kota dan desa, beramai-ramai menuntut perubahan dan reformasi kerana tidak lagi tahan menyaksikan ketidakadilan yang berlaku.
"Kes fitnah dan penghinaan ke atas saudara Anwar Ibrahim adalah sebagai lambang kebejatan ketika itu, di samping tindakan ganas pemerintahan dalam menghadapi kebangkitan rakyat," katanya.
Lalu, tegasnya, demi menyambut ledakan dan lonjakan kembali aspirasi keadilan, demokrasi dan daulat hukum, maka tertubuhlah parti Keadilan Nasional (Keadilan) yang menyediakan lagi satu wadah perjuangan buat rakyat dan menyambung semangat yang dilontarkan oleh pejuang-pejuang terdahulu.
Bagaimanapun, tambahnya, aspirasi perjuangan itu bukan baru dan bukan hanya berputik pada 1998-1999, tetapi telah lama mengakar dan merembes dalam sanubari sejarah bangsa Malaysia.
Tradisi perjuangan
"Ia dimulakan dengan perjuangan menuntut kemerdekaan sebenar yang digagaskan sekitar tahun 1930-an oleh pejuang-pejuang nasionalisme yang menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM), diteruskan oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), lalu membibit idea kemerdekaan," katanya.
Wan Azizah berkata, ianya diteruskan lagi pada dekad 60-an dan 70-an oleh pejuang bahasa dan kesaksamaan ekonomi, mahasiswa dan pekerja.
"Selepas tertidur sebentar akibat leka dengan agenda pembangunan dan teknologi rakyat kembali sedar pada 1998. Keadilan menyambung tradisi perjuangan bersejarah yang lalu itu," katanya
Atas sebab itu, tegasnya, pimpinan parti itu telah memutuskan agar ahli-ahli di setiap peringkat mengadakan program mengingati dan menyambut tiga detik penting yang telah mewariskan suatu wadah Parti Keadilan Rakyat yang menurutnya, amat disayangi dan dihargai.
"Tiga detik itu ialah 4 April sempena kelahiran Parti Keadilan Nasional, 3 Ogos sempena pelancaran Parti Keadilan Rakyat, dan 11 November sempena kewujudan hari Parti Rakyat Malaysia. Detik detik tersebut merupakan ikatan pada talian dalam jalinan sejarah perjuangan rakyat menuntut keadilan, kesaksamaan dan kemerdekaan," katanya.
Beliau berkata, penubuhan Parti Keadilan Nasional telah menyambung aspirasi yang digerakkan oleh Anwar di saat beliau merengkok dalam penjara.
"Jika perjuangan sebelum ini menuntut kemerdekaan sebenar, dekad ini adalah masanya pula kita menuntut keadilan sebenar," katanya.
Lestari perjuangan
"Pengorbanan adalah lumrah dalam perjuangan. Dalam lapan tahun berlalu, kami sedar ramai pihak telah berkorban wang, masa, kehidupan dan tenaga yang cukup banyak demi memastikan kelestarian perjuangan dapat diteruskan dan Insya Allah diwariskan kepada generasi depan," katanya.
Namun, tegas Wan Azizah, ada sebahagian daripada 'sahabat-sahabat perjuangan' yang tidak bertahan dengan dugaaan, cabaran dan fitnah yang dilemparkan, lalu meninggalkan arus perjuangan parti.
"Namun saya bangga kerana ketika ini, Parti Keadilan Rakyat dan kita sebagai penggeraknya, masih lagi mampu untuk terus berdiri, untuk terus berjuang, bagi menegakkan reformasi dan perubahan ke arah yang lebih mantap.
"Ini kerana kita telah jelas bahawa parti ini tidak bergantung kepada individu atau tokoh sahaja. Sebaliknya kita tetapkan landasan perjuangan yang kita gariskan dalam 17 perkara, yang menjadi asas perjuangan seperti tercatat dalam Perlembagaan Parti.
"Sebelum itu, Perisytiharan Permatang Pauh, 1998 merupakan sebagai salah satu landasan perjuangan yang kita setujui dan yakini.
"Jika kita tetap teguh dengan pendirian dan asas perjuangan, kita akan tetap terus wujud walau seribu panah menyerang dan badai mengoncang kita. Semoga Allah merestui dan rakyat memberikan kita kemenangan," tambahnya.

