Harga sayur: MAFS pantau bekalan, KPDN pantau harga sayur
Kenaikan harga sayur di pasaran ketika ini perlu dipantau Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh, berkata pihaknya hanya boleh mengambil tindakan jika kenaikan harga itu menyalahi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
"Sebenarnya yang itu (kenaikan harga sayur) berkaitan dengan MAFS, kalau harga itu luar biasa (barulah) jatuh bawah akta antipencatutan, yang itu di bawah kementerian (KPDN).
"Harga luar biasa itu pula terbahagi kepada dua.
"Pertama pengguna boleh tengok menu, harga pada menu itu; dan kedua kalau mahal sangat, pengguna boleh buat aduan dan penguat kuasa KPDN akan buat siasatan," katanya dalam sidang media di Kuantan, Pahang hari ini.
Fuziah berkata demikian selepas ditanya mengenai rungutan orang ramai yang berdepan isu kenaikan harga sayur-sayuran di pasaran sejak minggu lalu.
Harga beberapa jenis sayur berdaun dan buah meningkat antara dua hingga tiga kali ganda berbanding harga sebelum monsun timur laut.
Biasanya kenaikan berlaku apabila bekalan kurang, tetapi ketika ini peniaga dan pengguna mendapati masalah tersebut berlaku walaupun bekalan di pasaran mencukupi.
Harga sayuran melonjak naik susulan hujan lebat berterusan dan banjir melanda beberapa negeri sejak dua bulan lalu dan dijangka pulih secara berperingkat hujung bulan ini.
Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur-sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee, sebelum ini dilaporkan berkata hujan lebat berterusan menjejaskan pengeluaran di Johor, Pahang dan Perak sekali gus menyebabkan harga bahan mentah itu melonjak lebih 100 peratus di kawasan terjejas.
Antara sayuran yang mencatatkan kenaikan harga lebih 100 peratus termasuklah tomato, timun, kacang panjang dan bendi.
Harga tomato dan bendi yang sebelum ini hanya RM4 sekilogram (kg) kini melonjak kepada lebih RM10 per kg.
Begitu juga timun dan kacang panjang yang sebelum ini hanya RM4.50 kg namun ada kawasan bekalan terjejas menyebabkan harganya melonjak lebih RM10.
Ditanya mengenai kejadian banjir kilat yang melanda beberapa lokasi sejak kelmarin, Fuziah memberitahu masalah bekalan barangan keperluan asas tidak terjejas.
"Memang kejadian banjir ini akan memberi kesan kerana ada masalah sikit dengan logistik.
"KPDN sedang mengadakan engagement (libat urus) dengan pemegang taruh yang terbabit secara langsung dalam bidang logistik untuk mencari jalan mengurangkan kos penghantaran terutamanya ketika banjir.
"Kalau kita dapat kurangkan kos logistik, harga barangan ini akan dapat diturunkan dan sekali gus dapat membantu mengurangkan bebanan pengguna," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/0eba01be4370c6f9f4c81a6cbff770b1.jpg)
