Ucapan di perhimpunan Umno tidak cermin dasar kjaan, kata Najib
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ucapan berbau berkauman sewaktu perhimpunan agung Umno yang lalu tidak mencerminkan dasar kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ucapan berbau berkauman sewaktu perhimpunan agung Umno yang lalu tidak mencerminkan dasar kerajaan.
Oleh itu, beliau yakin, ianya tidak akan menjejaskan sokongan pengundi Cina terhadap Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada 12 April ini.
Najib, yang juga Timbalan Pengerusi BN, yakin pengundi Cina akan terus menyokong calon BN, Lai Meng Chong, 56.
"Kita telah menjelaskan kepada masyarakat Cina bahawa apa yang telah diperkatakan dalam perhimpunan agung Umno itu tidak mencerminkan dasar kerajaan," kata Najib kepada pemberita selepas proses penamaan calon pilihanraya kecil Machap hari ini.
Pengundi Cina merupakan 45 peratus daripada 9,623 berdaftar di Machap, manakala 38 peratus lagi adalah pengundi Melayu, 15 peratus pengundi India, 108 undi pos dan bakinya lain-lain kaum.
Menurut Najib lagi, rakyat sedar sepenuhnya bahawa semua dasar-dasar kerajaan dirangka berdasarkan kepada rundingan dan persetujuan bersama semua parti-parti komponen BN.
"Semua anggota BN bersetuju dan menyokong dasar-dasar kerajaan," katanya.
Isu keris
Perhimpunan agung Umno 2006 menjadi sasaran kritikan banyak pihak apabila ada perwakilan yang membuat ucapan keras yang berbau perkauman, termasuk seorang daripadanya yang bertanya bilakah keris akan digunakan untuk melindungi orang Melayu.
Perhimpunan agung dapat diikuti oleh seluruh rakyat Malaysia kerana ia disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen Astro.
Manakala perwakilan lain pula bercakap mengenai perlunya melindungi hak orang Melayu dan pentingnya diteruskan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Pilihanraya kecil itu akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN dengan calon DAP, Liou Chen Kuang, 33.
Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian Datuk Wira Poh Ah Tiam, 55, yang juga Pengerusi MCA Melaka, pada 15 Mac lalu. Dalam pilihanraya umum 2004, Poh menewaskan Liou dengan majoriti 4,562 undi.

