Belanjawan 2023 yang dijadual dibentangkan pada 24 Februari ini, bakal membabitkan pengambilan tindakan lebih radikal.

Ia bukan sahaja akan mengambil kira cabaran ekonomi semasa tetapi, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertujuan memacu pertumbuhan negara, termasuk menarik pelaburan serta memberi rahmah kepada rakyat.

Sambil mengakui Malaysia telah ketinggalan dari segi pelaksanaan dasar membabitkan ekonomi, Anwar yang juga adalah menteri kewangan berkata kerajaan akan mempertimbangkan daya saing, kecepatan kelulusan perniagaan serta beberapa inisiatif baharu termasuk pendigitalan dan pengeluaran sumber asli dalam proses hiliran.

"Kita ketinggalan dalam (bidang-bidang tersebut) berbanding Indonesia, Thailand dan Vietnam. 

“Kita mesti depani hal-hal ini untuk memastikan kita berdaya saing," katanya yang dipetik oleh Bernama pada majlis Perhimpunan Bulanan Warga  Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan di Putrajaya hari ini. 

Bagaimanapun, cabaran terbesar merangka Belanjawan 2023 adalah mencari dasar yang seimbang untuk menarik pelabur serta melindungi rakyat Malaysia terutama golongan miskin tegar, katanya.

"Kadangkala ada pertembungan sedikit. Saya selalu sebut perbenturan idea dan dasar. Ini dapat jadi contoh bagaimana kita dapat terjemahkan Madani dalam pertumbuhan ekonomi.

"Fokus kita bukan soal kaum atau daerah. Fokus kita adalah rakyat. Saya tidak mahu boleh tidur nyenyak jika rakyat merasa tersisih dan tidak dipedulikan oleh pemimpin negara," kata Anwar.

Turut hadir dalam perhimpunan berkenaan adalah Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim.