Beberapa pemimpin utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan turun membantu calon DAP, Liou Chen Kuang dalam pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap.

Pemangku Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) yang dipengerusikan oleh presiden parti, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail di ibu negara Ahad lalu.

"PKR Melaka diarahkan oleh MPT untuk membantu DAP memenangi kerusi Machap dari MCA," katanya ketika mengiringi Liou di pusat penamaan calon DUN Machap di Kampung Bukit hari ini.

Liou akan menentang calon Barisan Nasional (BN) Lai Meng Chong dalam pertandingan satu lawan satu. Hari pengundian ialah pada 12 April ini.

Shamsul Iskandar berkata, pemimpin DAP telah meminta PKR, khususnya PKR Melaka, membantu Liou dalam pilihanraya kecil kali ini.

"Kita sedang berbincang untuk mengatur jadual ceramah dan jadual pucuk pimpinan utama PKR bertemu rakyat di kawasan Machap," katanya.

Tarik pengundi Melayu

Dalam pilihanraya kecil DUN Machap, PKR memberi laluan kepada DAP untuk meletakkan calon mereka.

Mesyuarat MPT itu, kata Shamsul Iskandar, memutuskan PKR akan mengambil balik kerusi Machap dari DAP dalam pilihanraya umum akan datang.

"PKR pernah bertanding di DUN Machap dalam pilihanraya umum 1999 sebelum diserahkan kepada DAP pada pilihanraya umum lalu," katanya.

Shamsul Iskandar berkata, fokus utama jentera kempen pilihanraya PKR ialah untuk menarik pengundi Melayu di Machap supaya mengundi calon DAP pada 12 April ini.

Beliau berkata, pihaknya berharap kira-kira 60 peratus pengundi Melayu yang merupakan 38 peratus daripada 9,623 pemilih di Machap akan mengundi calon DAP.

"PKR akan membangkitkan isu-isu setempat, terutama soal pendidikan," katanya.

Shamsul Iskandar berkata, AMPKR telah menyumbang sebuah bilik gerakan di Machap Baru kepada jentera pilihanraya DAP.

Rakan PKR dalam Barisan Alternatif (BA), PAS bagaimanapun memutuskan tidak akan membantu DAP.

Pilihanraya kecil Machap diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Poh Ah Tiam pada 15 Mac lalu.