Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Badan penguat kuasa perlu bertindak tanpa kira kedudukan, fahaman'
Diterbitkan:  Feb 8, 2023 10:59 AM
Dikemaskini: 4:04 AM

Badan penguatkuasaan perlu mengambil tindakan segera sekiranya mendapati wujud perlanggaran di pelbagai peringkat tanpa mengira kedudukan serta fahaman, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata usaha memperbetulkan kekhilafan umpamanya soal kewangan yang dirompak sentiasa mendapat tentangan luar biasa daripada pelbagai pihak.

“Ada guna kaum atas nama Melayu, ada guna Islam, dan terus tanpa menyiasat, tanpa mendengar laporan daripada penyiasat badan penguatkuasa dan terus sebut ini soal tindakan politik dan sebagainya

“Kita ambil tindakan terutama dari segi hukum berdasarkan fakta dan hukum… bukan untuk merekayasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Putrakaya hari ini. 

Sebelum ini, Anwar menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinannya tidak mencampuri urusan badan siasatan dan penguatkuasaan termasuk dalam siasatan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Bersatu.

Badan siasatan dan penguatkuasaan serta kehakiman kekal bebas untuk menjalankan siasatan masing-masing, kata Anwar.

Sementara itu, Anwar berkata semua pihak perlu bertekad melakukan perubahan demi membawa negara ke arah lebih baik meskipun menerima bantahan hebat daripada golongan mahakaya dan mahakuasa dengan gelaran tinggi. 

“Kalau kita menolak, risiko besar kerana kita berdepan mahakaya dan mahakuasa dengan gelaran tinggi, Datuk Seri, Tan Sri, dan Tun.… kalau ada tekad membawa perubahan insya-Allah kita dapat lakukan," katanya.

Anwar berkata beliau tidak mahu negara sekali lagi terpalit dengan isu rasuah atau salah guna kuasa sebaliknya memfokus untuk mengamalkan tatakelola yang baik.

Beliau berkata barisan Jemaah Menteri dalam Kerajaan Perpaduan turut membuat ketetapan untuk tidak mengizinkan amalan dan budaya lampau diteruskan.

“Maka alasan untuk kita jalankan kerja lulus kontrak dan projek tidak tepati peraturan dari segi tatakelola baik adalah tidak terpakai lagi.

“Sekarang ini terserah kepada ketua pengarah, ketua bahagian, pimpinan kementerian untuk memastikan hal ini tidak berlaku di semua peringkat,” katanya.

- Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS