Nota editor: Laporan ini telah dikemas kini


BN menamakan Timbalan Pengerusi BN Sabah Yakub Khan sebagai wakil Umno-BN untuk mengadakan rundingan dengan kerajaan gabungan Sabah.

Setiausaha Agung BN Zambry Abd Kadir juga mengumumkan bahawa BN telah memutuskan untuk menyokong kerajaan campuran Sabah yang diketuai oleh Ketua Menteri Hajiji Noor.

“Pendirian ini sejajar dengan pendirian parti di peringkat persekutuan yang telah membentuk kerajaan perpaduan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengumuman itu hadir selepas Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin pada bulan lalu mengumumkan menarik balik sokongan terhadap Hajiji sebagai ketua menteri.

Langkah yang dilihat sebagai cubaan rampasan kuasa itu gagal apabila lima Adun Umno Sabah tidak mengikut jejak Bung dan terus menyokong Hajiji sebagai ketua menteri.

Ini menyebabkan Bung dan Yakub kehilangan jawatan mereka dalam kerajaan negeri dalam rombakan kabinet negeri.

Kenyataan Zambry dibuat sehari selepas MCA Sabah berkata ia juga akan terus menyokong Hajiji.

Ketua MCA Sabah Lu Yen Tung juga menjauhkan diri dengan usaha rampasan kuasa bulan lalu.

"Tidak pernah sekalipun MCA Sabah terlibat dalam sebarang usaha untuk menggulingkan kerajaan negeri pimpinan Hajiji," katanya.