Pengumuman Mohamed Azmin Ali untuk berehat seketika daripada politik disambut segera oleh bekas partinya, PKR, hari ini.

Bahkan PKR mencadangkan agar bekas ahli parlimen Gombak terbabit bukan sekadar berehat untuk sementara waktu, sebaliknya bersara terus daripada politik.

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin, berkata saranan itu dianggap wajar kerana kredibiliti Azmin kini "telah rosak" ekoran pelbagai isu yang membayanginya sebelum ini.

"Saya ingin menasihati Azmin, jika ingin berehat, maka berehatlah daripada berpolitik untuk selama-lamanya memandangkan kreadibiliti dia telah rosak.

"Tidak mungkin lagi rakyat akan memberikan kepercayaan kepada pengkhianat seperti Azmin walau berkali-kali dia melakukan 'reset' politik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Razeef berkata demikian susulan laporan yang menyebut Azmin mahu berehat seketika daripada membabitkan diri dalam politik secara aktif.

Pengumuman bekas timbalan presiden PKR yang bertanggungjawab mengetuai 11 ahli parlimen parti itu berpaling tadah menyokong Bersatu pada 2022 itu dibuat beberapa ketika selepas dia berdiam diri ekoran kegagalannya mempertahankan kerusi parlimen Gombak.

Bagaimanapun untuk rekod sehingga kini Azmin masih merupakan Adun Bukit Antarabangsa.

Hasrat Azmin itu dibuat melalui ciapan di Twitter semalam. Menurut bekas menteri kanan kepada kerajaan PN berkenaan, dia bagaimanapun bertekad untuk terus "berkhidmat kepada negara dan rakyat".

Menurut Razeef tindakan diambil Azmin itu juga menunjukkan ahli politik terbabit tidak bertanggungjawab kerana dia masih seorang Adun yang mewakili rakyat di kawasan Bukit Antarabangsa.

"Saya yakin walaupun Azmin berehat dan tidak berkhidmat kepada rakyat, dia masih menerima elaun sebagai Adun.

"Sebagai seorang wakil rakyat, keputusan untuk berehat hanya boleh dibuat bersekali dengan keputusan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya akan datang.

"Selagi masih menjadi wakil rakyat adalah menjadi kewajipan untuk Azmin terus berkhidmat kepada pengundi sehingga habis penggal," katanya.

Razeef juga menganggap apa yang berlaku ke atas Azmin itu adalah 'pembalasan' atas langkah politiknya sebelum ini.

"Saya ingin memberitahu Azmin apa yang dilalui hari ini ialah kerana khianat yang dia lakukan kepada PKR, PH dan rakyat yang memberikan amanah kepadanya selaku wakil rakyat Gombak" katanya.