Caj bulanan perkhidmatan sistem pembentungan bersambung pelanggan domestik dinaikkan bagi menampung peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan sistem pembentungan awam, kata Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd.
Ia juga diperlukan susulan penerimaan aset-aset pembetungan yang bertambah dari tahun ke tahun, menurut syarikat Kementerian Kewangan itu.
“Namun, pelarasan ini masih belum dapat menampung sepenuhnya kos operasi, ekoran tarif yang tidak pernah disemak sejak 28 tahun,” kata IWK melalui kenyataan kepada Malaysiakini sebentar tadi.
Malaysiakini hari ini melaporkan rungutan pengguna yang mendakwa mereka perlu membayar lebih 25 peratus bagi caj perkhidmatan pembetungan bulanan masing-masing.
Walaupun caj baru itu diumumkan tahun lalu, mereka baru menyedari perlu membayar RM10 sebulan berbanding hanya RM8 sebelum ini.
Baca: Pengguna mengeluh caj bulanan IWK naik 'diam-diam'
Sementara itu, IWK berkata kenaikan itu dipersetujui kerajaan dan diwartakan bawah Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Caj Perkhidmatan Pembetungan) pada September 2022.
Pemakluman mengenai pelarasan dikeluarkan kepada media pada bulan sama.
Pelarasan itu, katanya, tidak melibatkan pelanggan kategori premis rumah kos rendah, kampung, kampung baru dan estet.
Malah, kata IWK, golongan B40 yang mendaftar bawah e-kasih (miskin dan miskin tegar) boleh mendapat rebat daripada IWK sebanyak RM2 daripada kenaikan berkenaan.
IWK juga berkata kenaikan itu bagi memastikan kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan sistem pembetungan awam berjalan dengan cekap demi memastikan sumber air terjamin, melindungi kesihatan dan persekitaran awam, membasmi salah satu titik pencemaran menuju ke sungai-sungai, melindungi kelestarian alam sekitar dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.
Sementara itu, IWK juga menegaskan bahawa tarif perkhidmatan pembetungan untuk kategori domestik di negara antara caj terendah di dunia.
“Dengan kadar inflasi dan caj elektrik yang kian meningkat, IWK terpaksa bergantung kepada subsidi kerajaan dalam memastikan IWK dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berterusan kepada rakyat,” katanya.
