Pada 28 Januari lalu, Ng Chee Pang,22, yang menjadi calon bebas dalam pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam hilang wang pertaruhan selepas kalah teruk kepada calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Mat Kiram.

Abdul Aziz, 47, yang memperolehi 6,276 undi, menang dengan majoriti besar 5,857 undi. Manakala Ng, 22, pula hanya memperoleh 419 undi dalam pilihanraya kecil tersebut yang diboikot oleh parti pembangkang.

Dan Ng muncul lagi pada hari penamaan calon bagi pilihanraya kecil DUN Machap yang diadakan di Kompleks Japerun, Bukit Botak, semalam, dan kelihatan berlegar-legar bersama penyokong DAP.

Pilihanraya kecil Machap akan menyaksi pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Lai Meng Chong dengan calon DAP, Liou Chen Kuang pada 12 April ini.

"Saya datang kerana mahu menuntut janji-janji Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang beliau tabur kepada pengundi Batu Talam tempoh hari.

"Dulu pandai buat janji tetapi tidak mahu tunai.Mana jambatan baru, mana jalan baru dan paip baru...," katanya ketika ditemui malaysiakini.

Tagih janji

Sehubungan itu, katanya beliau akan memberitahu pengundi di kawasan Machap supaya menolak BN dalam pilihanraya kecil kali ini.

Ng berkata, jika kerajaan boleh menipu pengundi Batu Talam, mereka juga boleh berbuat demikian kepada penduduk Machap.

Bapanya, Ng Kwi Ling yang hadir sama di majlis penamaan tersebut, memberitahu anaknya tidak akan datang ke Machap sekiranya janji-janji tersebut ditunaikan.

"Umno, MCA dan MIC berjanji tetapi tidak boleh tunai janji kerana tidak ada kuasa. DAP pun kalau buat janji, tidak boleh tunai juga.

"Tetapi Najib ada kuasa kerana beliau Timbalan Perdana Menteri. Lain kali kalau mahu cakap mesti ada hitam putih. Saya akan suruh pengundi Machap minta surat hitam putih kalau Najib buat janji," katanya lagi.