PAS Wilayah Persekutuan akan membuat laporan polis terhadap pemimpin parti Gerakan terbabit atas tuduhan hasutan dan cuba menimbulkan perbalahan antara kaum dan agama.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Herman Samsudeen berkata, laporan tersebut akan dibuat petang esok di balai polis Jalan Campbell, Kuala Lumpur.

Pada pagi hari esok, Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan dan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan akan mengadakan sesi dialog yang dijadual berlangsung di Ibupejabat Parti Gerakan di Menara PGRM, Cheras pada jam 10.30 pagi.

Herman berkata, pihaknya kemudiannya akan menyerahkan memorandum bantahan serta mendesak agar Parti Gerakan menarik balik resolusi yang telah diluluskan supaya memecat Mufti Negeri Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria.

Ahad lalu, konvensyen Gerakan Wilayah Persekutuan meluluskan resolusi tersebut kerana mendakwa kononnya Mufti Perak itu terbabit dalam penyebaran SMS berhubung isu murtad terhadap pelayar solo, Datuk Azhar Mansor.

Selain itu, katanya, satu demonstrasi aman bagi membantah tindakan Gerakan itu akan turut diadakan selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur

"Seluruh Umat Islam di Lembah Kelang adalah dijemput hadir bagi bersama-sama menzahirkan bantahan terhadap tindakan parti Gerakan," katanya.

Bagaimanapun, Herman berkata, ia adalah satu perhimpunan aman dan pihak penganjur tidak bertanggungjawab di atas sebarang provokasi dan tindakan subversif yang boleh menganggu keselamatan awam.

Kuasa Sultan

Semalam, dalam satu kenyataannya, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menyifatkan resolusi konvensyen Gerakan Wilayah Persekutuan itu sebagai 'biadab'.

Katanya, tindakan tersebut menunjukkan bahawa Pemimpin Gerakan sememangnya buta tentang undang-undang dan perlembagaan negara yang jelas memperuntukkan kuasa bagi Sultan di semua negeri melantik mufti.

"Mereka tiada hak untuk mendesak agar Mufti Negeri Perak dipecat," katanya dalam kenyataan tersebut.

Dewan itu juga mahu agar Pengerusi Parti Gerakan Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Tan Kee Kwong memohon maaf secara terbuka dan menarik balik resolusi berkenaan bagi menjaga perpaduan rakyat antara berbilang bangsa di negara ini.

Tindakan Gerakan itu turut dibantah oleh Badan Bertindak Anti-IFC (Badai) yang mendesak Gerakan memohon maaf secara terbuka kepada Mufti Perak kerana keterlanjuran parti berkenaan.

Badai berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa individu dan pemimpin tertentu dalam Gerakan yang didakwanya suka mencetuskan kontroversi agama dan mengingatkan mereka supaya jangan mencampuri urusan agama Islam.

Dalam satu kenyataan semalam, Badai berkata, jawatan mufti adalah satu jawatan terpenting dalam hal-ehwal hukum dalam Islam dan ia adalah hak umat Islam dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Badai juga mahu menegaskan bahawa Gerakan tidak ada hak untuk mencampuri urusan kemuftian atau pandangan yang dikemukakan oleh mana-mana mufti dalam negara ini," tambahnya.

.