Menteri memang mahu kamera badan polis dilaksanakan segera
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata pendiriannya berhubung pelaksanaan kamera badan polis adalah mudah - tiada kompromi dan perlu dilaksanakan segera.
Bagaimanapun, kata Saifuddin buat masa ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih di peringkat menentukan spesifikasi peralatan itu mengikut kesesuaian tertentu.
“Arahan saya mudah ianya perlu dilakukan secepat mungkin tanpa kompromi dengan semua prinsip ketelusan dalam urusan perolehan," katanya.
Bercakap kepada wartawan selepas menghadiri sesi libat urus bersama media di Putrajaya malam tadi, senator itu juga memberitahu setakat ini perolehan untuk kamera tersebut belum dibuat.
Saifuddin berkata demikian sebagai mengulas persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, berhubung pelaksanaan kamera badan yang sepatutnya disediakan untuk kegunaan anggota PDRM dua tahun lalu.
Akhir Jan lalu, Lim membangkitkan semula perkara itu susulan serbuan polis ke atas sebuah premis yang mengadakan persembahan muzik ‘underground’ di Pulau Pinang.
Penganjurnya ditahan lebih 12 jam kerana tidak mempunyai lesen persembahan.
Insiden itu tular di media sosial selepas menarik perhatian beberapa pemuzik dan pencinta muzik termasuk dari luar negara.
Salah seorang pemiliknya Shaik Fitri berkata polis menyerbu premis itu kira-kira jam 11 malam, memeriksa kad pengenalan dan bertanya berkaitan lesen.
Shaik berkata tiga ditahan susulan merakam gambar serbuan tersebut dan polis memberitahun tidak dibenarkan mengambil gambar dan meminta mereka memadam gambar tersebut.
Mereka kemudiannya dibebaskan selepas sejam ditahan.
Mengulas lanjut Saifuddin berkata ketika ini isu pemerolehan kamera badan bukanlah membabitkan soal peruntukan.
“Peruntukan sudah ada. Bahagian perolehan sedang memuktamadkan spesifikasinya dan apabila itu dilaksanakan nanti maka pihak polis akan mengguna pakai peranti tersebut.
"Saya percaya ia akan meningkatkan lagi kecekapan pasukan polis,” katanya.
Tambah Saifuddin, penggunaan kamera badan polis juga mempunyai kelebihan termasuk memudahkan PDRM mengumpul bahan bukti.
“Kemudian, ianya boleh meningkatkan integriti pasukan polis bahawa dia sedar bahawa dia diawasi oleh peranti (kamera badan) dan sebarang manipulasi oleh mana-mana pihak juga akan dapat dikawal,” tambahnya.
Disember lalu, Saifuddin mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan RM30 juta bagi menyegerakan perolehan kamera badan untuk kegunaan polis.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/dd7e0f514b51a1c1bc138dec5141a888.jpg)
