Harumaini Omar menggesa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim menarik balik pengisytiharan pengosongan kerusi DUN N07 Batang Kali.

Dalam surat yang dihantar kepada Ng hari ini, Harumaini - yang memenangi kerusi itu pada 2018 - berkata ketidakhadirannya dalam sidang DUN dari 28 Julai tahun lalu hingga 28 Jan tahun ini, tidak menghilangkan kelayakannya sebagai ahli dewan.

Harumaini berkata , Perkara 69 Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor menyatakan jika seorang ahli dewan undangan tidak hadir pada 'tiap-tiap persidangan' dewan dalam tempoh enam bulan, barulah kerusi itu boleh diisytiharkan kosong oleh speaker.

Dia berkata Persidangan Dewan Negeri Selangor juga adalah dirujuk sebagai “mesyuarat” di mana ia didefinisikan di bawah Perkara 46 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri sebagai persidangan Dewan Negeri.

"Saya mengesahkan di sini bahawa saya telah hadir sebagai Ahli Dewan Negeri Selangor bagi Mesyuarat Pertama dan Mesyuarat Kedua.

“Meskipun saya hadir pada 27 Julai 2022, kehadiran saya adalah masih di dalam sidang atau mesyuarat kedua yang sama (same sitting).

"Oleh yang demikian, Yang Berhormat Speaker telah terkhilaf apabila membuat pengiraan tempoh enam bulan dari tarikh 27 Julai 2022 kerana ia masih di dalam satu sidang atau mesyuarat yang sama," kata Harumaini.

Menurutnya berdasarkan undang-undang, ketidakhadirannya hanya berlaku pada mesyuarat ketiga iaitu persidangan yang bermula pada 23 November 2022.

"Oleh itu, apa-apa pengiraan tempoh enam (6) bulan bagi maksud Perkara 69 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 hanya bermula dari 23 November 2022 dan ia hanya akan luput pada 22 Mei 2023," katanya.

Selain itu Harumaini berkata, kuasa menentukan dan mengesahkan sama ada berlakunya “kekosongan luar jangka” atau “casual vacancy” bagi kerusi DUN N07 Batang Kali perlu ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan bukan oleh Speaker.

"Berpandukan kepada peruntukan undang-undang di atas, maka saya sekali lagi memohon agar Yang Berhormat Speaker memberikan pertimbangan wajar untuk menarik balik pengisytiharan pengosongan kerusi DUN Batang Kali dengan serta merta,” katanya.

Semalam, Ng mengistiharkan kerusi DUN Batang Kali kosong selepas Harumaini gagal menghadirkan diri dalam persidangan DUN Selangor selama enam bulan tanpa sebarang notis dan tanpa kebenarannya selaku speaker.

Katanya keputusan itu juga dibuat selepas mendapat nasihat daripada penasihat undang-undang kerajaan negeri.

Ng berkata dia bertanggungjawab untuk bertindak mengikut undang-undang dan preseden yang ditetapkan pada 2011 yang menyaksikan kerusi Pelabuhan Kelang dikosongkan kerana kesalahan yang sama.