Pemuda Bersatu mencadangkan agar kerajaan menetapkan elaun minimum untuk pelajar latihan amali (internship) yang bekerja di sektor swasta seperti yang dilaksanakan dalam gaji minimum pekerja.

Saranan itu hadir selepas kenyataan Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Syed Hussain Syed Husman yang mempertahankan latihan amali tanpa gaji.

Exco Pemuda Bersatu Harris Idaham Rashid menggesa kerajaan menggubal undang-undang yang mewajibkan majikan membayar elaun kepada pelatih.

"Pemuda Bersatu berpendapat bahawa anak muda tidak boleh dijadikan buruh kasar di negara sendiri. Kita harus sedar bahawa pelajar internship juga perlu membiayi kos untuk hadir ke pejabat sama seperti pekerja lain.

"Syarikat swasta mengutip untung hasil daripada tenaga kerja termasuk pelajar internship. Syarikat juga telah menjimatkan satu amaun yang signifikan dengan mengambil pelajar internship untuk berkhidmat.

"Maka wajar untuk kerajaan mewajibkan satu elaun minimum diberikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, rundingan antara kerajaan dan pihak berkepentingan perlu dilakukan secepat mungkin bagi mencapai keputusan muktamad berhubung perkara ini.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata kabinet akan membincangkan cadangan untuk memaksa sektor swasta membayar elaun kepada pelajar yang menjalani latihan industri.

Yeoh dilaporkan The Star berkata bahawa terdapat keperluan untuk membincangkan perkara itu dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia mengenai kebaikan dan keburukan pelaksanaan cadangan itu, yang telah dijalankan di sektor awam.

Walaupun syarikat swasta tidak mewajibkan membayar elaun kepada pelajar yang sedang menjalani latihan industri, dia berkata syarikat dalam sektor swasta amat digalakkan untuk memperkenalkan elaun tersebut.

Semasa Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjadi menteri belia dan sukan pada 2019, kerajaan menaikkan elaun latihan amali berbayar di setiap kementerian persekutuan, agensi kerajaan dan jabatan daripada RM300 kepada RM900.