Family Frontiers mengalu-alukan keputusan kabinet yang bersetuju dengan cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membenarkan wanita Malaysia mewariskan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka yang lahir di luar negara.

Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan hak asasi itu menyifatkan keputusan itu perkembangan ketara dalam mengiktiraf hak wanita Malaysia dan anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Kumpulan itu, yang lantang mengenai isu kewarganegaraan, menyatakan bahawa golongan wanita seumpamanya sebelum ini menghadapi cabaran besar dan layanan tidak adil dalam negara.

“Sangat menggembirakan apabila melihat kerajaan komited untuk mengambil langkah penting ini bagi menangani isu yang berlarutan ini.

“Kami kini mengharapkan perkenan Majlis Raja-Raja dan kelancaran pindaan itu di parlimen.

"Kami menggesa semua pihak berkepentingan yang berkaitan untuk bekerjasama bagi memastikan pindaan itu dilaksanakan tepat pada masanya dan berkesan," kata Family Frontiers.

Keputusan itu juga disambut baik oleh ibu-ibu yang terkesan yang melihatnya sebagai berita positif yang mereka tunggu sejak sekian lama.

Presiden Family Frontiers Suriani Kempe juga memuji keputusan Kabinet, namun menambah bahawa hanya selepas pindaan itu diluluskan, ibu warga Malaysia boleh bernafas lega.

“Selepas itu, ibu-ibu boleh menyerahkan dokumen anak mereka ke JPN untuk menerima sijil kewarganegaraan. Tetapi kita pastinya berada di landasan yang betul,” kata Suriani.

Family Frontiers juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kabinet, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

“Pertimbangan kabinet untuk memberikan wanita Malaysia hak untuk memberikan kerakyatan secara automatik kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara akan membawa kelegaan kepada semua keluarga yang terjejas di seluruh dunia.

“Dengan pindaan ini, pelbagai halangan yang dihadapi ibu dan anak termasuk perpisahan keluarga, halangan untuk mengakses status pemastautin jangka panjang, pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan sosial akan berakhir tidak lama lagi,” kata Family Frontiers.

Malam tadi, Azalina dan Saifuddin memaklumkan dalam satu kenyataan bersama bahawa kabinet telah mengesahkan cadangan untuk menminda Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan.

Pindaan itu membolehkan wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing mewariskan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka, termasuk mereka yang dilahirkan di luar negara.

Pindaan itu dijangka akan diperkenalkan pada persidangan parlimen yang sedang berlangsung.

[Baca berita penuh]