Kementerian Komunikasi dan Digital berhasrat meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) bagi tujuan keselamatan dan membendung ketirisan data.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata pindaan itu bukan sahaja bertujuan mengukuhkan akta berkenaan, tetapi juga untuk memastikan semua organisasi yang mengendalikan data peribadi bertanggungjawab melindungi maklumat pengguna.

"Bagi transaksi komersil atau pin keselamatan perlu faham bahawa sekiranya mereka culas atau gagal melindunginya, maka kegagalan itu perlu menghadapi penalti yang serius.

"Ketika ini seakan-akan tidak ada rasa segan silu jika berlaku ketirisan data, malah sekiranya dibuat penafian tidak ada pengesahan bahawa penafian itu benar ataupun tidak.

"Jadi undang-undang dari segi itu kita sedang usaha untuk perketat dan ia sangat penting," katanya seperti dilapor Harian Metro.

Dia berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023, di Kuala Lumpur hari ini.

Selain undang-undang, Fahmi berkata keselamatan prasarana siber negara juga perlu terjamin untuk memastikan data peribadi selamat.

"Setakat ini peranan CyberSecurity Malaysia (CSM) sangat berkesan, tetapi pada masa sama perlu lihat ada keperluan agensi itu diberi lebih kuasa atau mendapat kerjasama lebih erat daripada semua pihak tidak kira awam atau swasta," katanya.

Fahmi sebelum ini konsisten membangkitkan isu ketirisan data peribadi di negara ini serta keperluan untuk memperkukuh infrastruktur berkaitan bagi mengelak kejadian seumpama itu berlaku, walaupun ketika sebelum menjadi menteri.

Pinda Akta Finas

Dalam pada itu, Fahmi berkata kerajaan sedang berbincang untuk meminda Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) 1981 bagi mengelakkan ahli perbadanan atau ahli lembaga pengarahnya menggunakan kedudukan untuk menyalurkan dana kerajaan kepada syarikat yang mempunyai kepentingan.

Menurutnya, mereka yang memegang jawatan sebagai ahli lembaga pengarah tidak boleh menerima sebarang geran atau manfaat daripada agensi itu.

“Beberapa minggu lalu, Perdana Menteri telah menegur isu dana kandungan digital ini yang melibatkan Finas. Sejuk teguran itu, saya telah bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Finas dan pengurusan untuk memahami apa yang telah berlaku dan tindakan yang perlu diambil," katanya lapor Utusan Malaysia.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2 yang dibentang di Dewan Rakyat pada Khamis lalu mendedahkan, dana kandungan digital bernilai RM4 juta itu disalurkan kepada enam syarikat yang mempunyai kepentingan antaranya milik ahli lembaga pengarah itu sendiri, isteri, anak, ahli keluarga serta pegawai khas.

“Saya berpuas hati dengan maklum balas diberi dan harapan kerajaan untuk isu ini, mereka yang memegang jawatan ahli lembaga tidak boleh menerima sebarang geran atau manfaat daripada Finas dari segi kerja mereka.

“Tidak wajar sesiapa yang memegang jawatan itu atau berada di dalam lembaga berkenaan mengambil kesempatan. Jadi, kerajaan sedang bincang apakah bentuk pindaan terhadap akta Finas ini supaya membolehkan ahli lembaga ini berfungsi dengan baik.

“Ini selain mereka memahami perkembangan dalam industri perfileman dan pada masa sama, menjadi daya tarikan supaya mereka benar-benar menyumbang kepada industri ini,” katanya.

Mengikut Subseksyen 14(1) Akta Finas 1981 (Akta 244), seseorang yang dilantik sebagai ahli perbadanan, ahli jawatankuasa atau yang mempunyai hubungan dengan Finas tidak boleh mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dengan badan, pertubuhan atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti mengeluar, mengedar dan mempamer filem serta mempunyai kontrak dengan Finas.