Pelajar kejuruteraan penerbangan dikhuatiri lemas di Langkawi
Seorang pelajar kejuruteraan Penerbangan Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) dikhuatiri lemas di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi ketika sedang mandi-manda di bersama rakannya lewat petang semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi menerima panggilan mengenai kejadian menimpa Muhammad Fahmi Hafizi Zulkifli itu kira-kira jam 7.20 malam tadi.
Katanya siasatan awal mendapati Muhammad Fahmi, 20, serta beberapa rakannya sedang berenang di pantai itu sebelum dipercayai lemas.
Mangsa cuba diselamatkan rakan-rakan serta pelancong, kata Shariman, namun mereka gagal kerana alun air yang kuat.
"Operasi mencari dan menyelamat dijalankan sepasukan 57 pegawai dan anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Rela. Operasi ditangguhkan pada pukul 12 tengah malam (tadi) dan disambung semula pada pagi ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Shariman berkata mangsa yang beralamat di Langgar, Alor Setar itu bersama rakan-rakannya dikatakan baru dua minggu berada di Langkawi bagi menjalani latihan industri.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/968a9ecda9e5dbc8b64c552848fe5d59.jpg)
