Seperti ibu-ibu yang lain, Nurul Izzah Anwar juga mahu melakukan sesuatu yang bakal menjadi kebanggaan 'bayi reformasi' yang sedang dikandungnya, apabila dia besar kelak.

Dan pilihan Nurul Izzah yang dikenali sebagai 'Puteri Reformasi' ialah melangkah ke persada politik tanahair.

Anak sulung bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mendirikan rumahtangga tiga tahun lalu dengan seorang jurutera Raja Ahmad Shahrir Iskandar.

Nurul Izzah dijadual melahirnya cahayamata pertamanya itu hujung tahun ini. Dan sudah pastinya saat itu amat dinanti-nantikan oleh Anwar dan isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menimbang cucu pertama mereka.

"Kena tanya mama (Dr Wan Azizah Wan Ismail) apa nak panggilnya nanti[...] Belum bercakap lagi mengenainya," kata Nurul Izzah sambil ketawa.

Bagaimanapun, Nurul Izzah amat berahsia apabila ditanya mengenai tarikh sebenar dia akan melahirkan anak sulungnya itu.

"Insya-Allah, hujung tahun ini. Saya tidak boleh bagi tahu lebih-lebih sangat, nanti ada 'parti' lain akan membuat persediaan," katanya berseloroh.

Memang benar. Jika pilihanraya umum diadakan hujung tahun ini, kedua-dua mereka bapanya yang masih terikat dengan larangan lima tahun daripada terbabit dalam politik dan Nurul Izzah sendiri tidak akan dapat bertanding.

Nurul Izzah berkata, suaminya amat memahami dan menyokong keputusannya untuk menceburkan diri sepenuh masa dalam politik.

Nurul Izzah pertamakali bertemu dengan Raja Ahmad yang ketika itu masih menuntut di London ketika dia berucap kepada pelajar Malaysia di sana pada 1999 mengenai apa yang berlaku terhadap bapanya ketika itu.

"Perlukah saya bagi tahu (anda mengenainya)? Kami berdua malu-malu bila mata bertentang mata[...] Yang lainnya sudah menjadi sejarah..."

'Khabar angin'

Nurul Izzah juga ditanya mengenai khabar-khabar angin kononnya Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, pernah cuba 'memancingnya' suatu masa dahulu.

Bagaimanapun, Nurul Izzah menafikannya, termasuk dakwaan kononnya dia juga pernah menjalin 'hubungan' dengan bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd Nor tujuh tahun yang lalu.

"Saya terlalu muda ketika itu...dan tak ada teman lelaki pun...," kata lagi.

Bagaimanapun, pemecatan bapanya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kemudiannya menjalani hukuman penjara atas dakwaan yang menurut Anwar bermotifkan politik, telah menjadikan Nurul Izzah seorang yang tabah dan berhati waja.

"Memang (sukar) menjadi anak perempuan kepada timbalan perdana menteri kerana anda tidak tahu apakah niat sebenar orang lain atau mengapa mereka mahu bercakap dengan anda atau mahu menjadi kawan anda," katanya.

Mengimbas kembali tempoh 18 bulan dia menuntut di Universiti Johns Hopkins, Nurul Izzah berkata: "Ia merupakan satu nafas baru kerana orang mendengar apa juga yang kita cakapkan.

"Dalam kelas, kita digalakkan bersuara dan pada mula agak sukar bagi saya melakukannya. Saya tidak biasa berbuat demikian dalam sistem pendidikan di Malaysia," katanya.

Sebelum melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di seberang laut, Nurul Izzah merupakan lulusan ijazah sarjana muda dalam jurusan kejuruteraan elektrik dan elektronik dari Universiti Tenaga Malaysia. Berita asal

Q&A: My husband, my soul mate