Suhakam mahu Putrajaya tangani juga isu kewarganegaraan lain
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyambut baik keputusan kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara.
Bagaimanapun pengerusinya Rahmat Mohamad berkata Suhakam juga ingin menyeru agar kerajaan memberi perhatian serius dan menyelesaikan isu individu tanpa kewarganegaraan lain.
Katanya, ia melibatkan anak angkat di Malaysia, kanak-kanak baru lahir yang dijumpai, Orang Asli, Orang Asal di Sabah dan Sarawak, anak tidak sah taraf atau yang lahir dari perkahwinan yang tidak didaftarkan, orang tanpa dokumen dan lain-lain.
"Pada 2022 Suhakam menerima sebanyak 138 aduan melibatkan isu tanpa kewarganegaraan.
"Suhakam amat menghargai komitmen kerajaan dalam menjamin hak asasi manusia dan keadilan sosial di Malaysia, serta sedia membantu dan bekerjasama untuk memastikan keputusan baru ini dilaksana dengan cepat dan berkesan," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Terdahulu kabinet bersetuju dengan cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan hak kepada wanita Malaysia yang bersuamikan warga asing untuk mewariskan kewarganegaraan kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara.
Hal itu dimaklumkan dalam kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said, dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, kelmarin.
Rahmat berkata perkara itu adalah langkah penting dalam memenuhi hak kanak-kanak dan wanita di Malaysia selaras tanggungjawab negara ini sebagai ahli Konvensyen Mengenai Hak Kanak- Kanak dan Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita.
"Dengan cadangan pindaan tersebut, kerajaan mengambil langkah positif ke arah memastikan hak asasi manusia setiap warga Malaysia, tidak kira jantina atau tempat lahir, diiktiraf dan dilindungi.
"Berdasarkan pengumuman menteri sebelum ini terdapat 2,352 permohonan kewarganegaraan diterima antara 2018 sehingga 2021 daripada ibu warganegara Malaysia untuk anak mereka.
"Isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan ini telah menyebabkan pelbagai kesukaran, seperti akses yang terhad kepada perkhidmatan asas termasuk pendidikan dan penjagaan kesihatan.
"Ia juga menyebabkan tekanan emosi yang besar dan stigma sosial bagi keluarga yang terkesan," jelasnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/f9911da563d6636809cc7088b060f627.jpg)
