Menyedari hakikat bahawa sukar untuk merampas pentadbiran negeri Kelantan daripada PAS, pimpinan PH menegaskan mereka akan fokus untuk tampil sebagai pembangkang lebih kuat pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi PKR Kelantan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata perbincangan ke arah persediaan awal PRN bersama pimpinan Umno Kelantan juga sudah berlangsung secara tidak rasmi.

"Insya-Allah kita akan lihat satu kerjasama dan bagi saya tumpuan kita (PH) untuk jadi pembangkang yang kuat. Sebab kita tahu kita bukan pilihan utama, di Kelantan ini Perikatan Nasional (PN) khsuusnya PAS adalah pilihan utama. Jadi tumpuan kita adalah untuk jadi pembangkang yang kuat, bukan untuk menggantikan kerajaan sedia ada.

"Tetapi kita tahu rakyat juga ada prihatin terhadap beberapa isu, kadang-kadang apa yang diumumkan kerajaan tidak berpijak pada realiti seperti soal kenaikan gaji (wakil rakyat) dalam keadaan ekonomi Kelantan.

"Jadi bagi saya kalau ada pembangkang yang kuat di dewan undangan negeri (DUN), perkara seumpama itu dapat dibahaskan dengan lebih mendalam dan pandangan berbeza dapat diutarakan," katanya pada sidang media selepas majlis santai PKR Kelantan bersama pengamal media di Kota Bharu, malam tadi.

Nik Nazmi yang juga naib presiden PKR berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persediaan parti itu berdepan PRN akan datang.

Sementara itu jelasnya PKR telan menjalankan kajian sikap berpandukan kepada keputusan PRU15 lalu yang menyaksikan PAS menang di semua 14 kerusi Parlimen di Kelantan.

Justeru katanya, situasi itu akan dijadikan batu loncatan untuk PH melakukan kebangkitan di Kelantan selepas ini.

"Pertembungan satu lawan satu antara PAS dengan gabungan PH dan BN memberikan sedikit kelebihan selepas bertembung tiga penjuru pada PRU15 lalu.

"Tetapi bukan mudah untuk mengalahkan PAS yang sudah bertapak di sini sejak 1990, itu kita akui tetapi saya yakin keadaannya berbeza sedikit berbanding PRU15 lalu," katanya.