PARLIMEN l Kapal tempur pesisir (LCS) pertama negara yang dijadual siap pada tahun depan memerlukan lanjutan tempoh 22 hingga 24 bulan lagi bagi tujuan penilaian sebelum dibenarkan beroperasi.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ia melibatkan penelitian fungsi kapal berkenaan menerusi dua penilaian iaitu di pelabuhan dan lautan.

Beliau berkata penilaian di pelabuhan adalah bagi menguji kemampuan kapal yang telah siap dibina itu untuk terapung dan bergerak.

“Selepas ujian pelabuhan, kita perlu pula bawa uji kapal LCS ini untuk keluar ujian pengoperasian di laut, ia ambil masa 22 hingga 24 bulan dan barulah kapal akan ditauliahkan.

“Jadi kena ingat, bila kita kata siap itu, maksudnya siap dalam pembinaan di dok kering, ujian pelabuhan dan laut,” katanya menjawab soalan tambahan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) mengenai jumlah kos sebenar projek LCS selepas pengurangan daripada enam kepada lima kapal pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

- Bernama