Centre for Independent Journalism (CIJ) berkata bagi memastikan pelaporan yang bertanggungjawab dan beretika, kerajaan seharusnya fokus kepada penubuhan majlis media dan bukannya menimbang untuk menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas.

Majlis itu amat penting untuk industri media dalam mengekalkan piawaian dalam pelaporan berita, kata NGO tersebut.

"CIJ mengambil maklum hasrat Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) bagi menangani kewartawanan tidak beretika dan menambah baik rangka kerja kawal selia.

"Memang penting untuk memastikan sebarang usaha untuk meminda CMA adalah untuk mengukuhkan, bukannya menjejaskan, kebebasan bersuara dan media di Malaysia.

"Sementara kami setuju dengan Fahmi berkenaan kepentingan pelaporan beretika dan bertanggungjawab, kami tidak merasakan kewartawanan yang adil akan dicapai melalui dasar atau undang-undang yang lebih tegas," kata Pengarah Eksekutif CIJ Wathshlah Naidu dalam kenyataan hari ini.

Dia menegaskan langkah lebih penting adalah untuk mewujudkan majlis media sebagai badan yang telus dan diselia media sendiri.

"Majlis media juga akan menyediakan proses penyelesaian pertikaian yang menepati keperluan industri," katanya, yang turut menggesa Fahmi mengadakan libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan untuk meminda CMA.

CIJ turut menggesa kementerian agar bekerjasama dengan NGO untuk menambah baik mekanisme semak fakta agar naratif tidak benar dapat ditangani sebelum ia tersebar.

Rancangan pindaan CMA

Terdahulu, Fahmi dilaporkan berkata kerajaan dalam rancangan untuk meminda CMA.

"Bagaimanapun pindaan ini bukan untuk menyekat kebebasan media dan bersuara, (tetapi) untuk mengukuhkan rangka kerja kawal selia berkaitan keselamatan dan kebolehpercayaan rangkaian,” katanya seperti dipetik New Straits Times.

Pada Disember lalu, Fahmi berkata kerajaan akan terus mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan dalam usaha menubuhkan majlis media.

Pada 2018, peserta Hari Wartawan Nasional (Wahana) mewakili pelbagai organisasi media mengusulkan penubuhan Majlis Media Malaysia.

Sebuah jawatankuasa penaja untuk menubuhkan majlis itu pula ditubuhkan pada Januari 2020, ketika Gobind Singh Deo memimpin kementerian itu.

Draf rang undang-undang (RUU) kemudian dihantar kepada pengganti Gobind, iaitu Saifuddin Abdullah.