CJ tak sepatut dengar rayuan Najib, dakwa Shafee
Perbicaraan berhubung permohonan semakan Najib Razak untuk membatalkan keputusan bersalahnya, serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes rasuah SRC International membabitkan penyelewengan bernilai RM42 juta, hari ini memasuki hari ketiga.
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli, dijangka terus mendengar hujahan lisan daripada peguam bela utama bekas perdana menteri itu, Muhammad Shafee Abdullah.

Malaysiakini membawa kepada anda liputan itu.
Hujahan pendakwaan esok
3.48 petang: Muhammad Shafee Abdullah menggulung penghujahan lisannya dalam permohonan semakan Najib Razak terhadap sabitan dan hukumannya dalam kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.
Mahkamah Persekutuan kemudiannya menangguhkan perbicaraan ke pagi esok, dengan timbalan ketua pendakwa raya V Sithambaram dijangka mengemukakan hujahannya pula.
Tengku Maimun tak sepatut dengar rayuan Najib - Shafee
3.40 petang: Peguam Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa Ketua Hakim Negara (CJ) Tengku Maimun Tuan Mat sepatutnya hilang kelayakan daripada menjadi sebahagian daripada panel mahkamah persekutuan yang sebelum ini mendengar rayuan SRC Najib Razak tahun lalu.

Shafee berkata ini kerana suami hakim itu membuat hantaran di Facebook pada 2018 sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-14, yang didakwa menyalahkan perdana menteri ketika itu berhubung kejatuhan firma pelaburan negara, 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC.
Kedua-dua 1MDB dan SRC dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) manakala Najib pernah menjadi Menteri Kewangan.
Peguam itu mendakwa terdapat kegagalan korum yang tidak dapat dipertahankan apabila Tengku Maimun mendengar rayuan itu sedangkan suaminya ada mengkritik Najib dalam hantaran dalam talian.
"Kecamannya (suami Tengku Maimun) terhadap Najib pada 2018 berlaku sebaik sahaja keputusan pilihan raya diumumkan. Ia ibarat satu perayaan di FB," kata Shafee kepada panel mahkamah tertinggi negara yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli.
44 daripada 94 alasan rayuan mampu bebaskan Najib
2.51 petang: Peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa 44 daripada jumlah 94 alasan rayuan yang dikemukakan dalam rayuan Najib Razak mampu membebaskan bekas perdana menteri itu dalam kes rasuah SRC International yang membabitkan penyelewengan RM42 juta.
Peguam itu memberitahu panel lima hakim Mahkamah Persekutuan sekarang - yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli - bahawa panel sebelum ini boleh mengambil kira sekurang-kurangnya sebahagian daripada 94 alasan rayuan.
“Tiada siapa yang mengatakan mereka (panel sebelum ini yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat) perlu mengambil kira semua alasan.
"Kira-kira 44 (daripada alasan rayuan) adalah kukuh dan (akan) melayakkan dia untuk (Najib) dibebaskan," kata Shafee.
Prosiding semakan bersambung
2.33 petang: Mahkamah Persekutuan bersidang semula selepas rehat tengah hari untuk mendengar permohonan semakan SRC Najib Razak.
Prosiding rehat untuk makan tengah hari
12.50 tengahari: Prosiding rehat untuk makan tengah hari dan akan bersambung semula pada jam 2.30 petang ini.
‘Mahkamah Persekutuan tak analisis fakta 94 alasan rayuan’
12.12 tengahari: Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa panel mahkamah persekutuan sebelum ini - yang menolak rayuan SRC Najib Razak pada 23 Ogos tahun lepas - tidak menjalankan analisis fakta terhadap sebarang daripada 94 alasan rayuan yang dikemukakan.
Shafee mendakwa bahawa penghakiman mereka berhubung rayuan itu sebenarnya hanyalah berdasarkan tiga perenggan berdasarkan hujah sebelah pihak.
"Tiada alasan diberikan. Tiada penilaian dan analisis fakta dan undang-undang serta hujah dalam 94 (alasan) petisyen rayuan," kata peguam itu.
Selain Tengku Maimun, panel ketika itu turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Shafee nafi peguam Najib enggan kemukakan rayuan SRC
11.56 pagi: Peguam Muhammad Shafee Abdullah menafikan bahawa peguam Najib Razak sebelum ini enggan mengemukakan hujahan semasa rayuan SRC tahun lepas.
Shafee memberitahu panel mahkamah persekutuan hari ini bahawa pasukan peguam bekas perdana menteri sebelum ini hanya mahukan lebih banyak masa untuk mengemukakan hujah yang berkesan dalam rayuan itu.
"Cara (penemuan mahkamah persekutuan tahun lepas) menyebut tentang keengganan untuk mengemukakan rayuan menjadikan ia (kelihatan) sama ada anak guam saya atau peguamnya (ketika itu) agak keras kepala, yang tidak betul kerana mereka hanya memohon masa," kata Shafee .
Pada Ogos tahun lalu, mahkamah tertinggi negara yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menafikan permohonan peguam Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan selama tiga hingga empat bulan bagi membantu mereka membuat persediaan bagi mengemukakan rayuan.

Mahkamah juga menafikan permohonan peguam Najib ketika itu Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik dira daripada mewakili bekas perdana menteri itu kerana peguam itu berhujah dia tidak dapat mengemukakan hujahan apabila permohonan penangguhan itu ditolak.
Prosiding bersambung semula
11.25 pagi: Mahkamah Persekutuan bersidang semula selepas berehat seketika.
Shafee rujuk kembali kenyataan Najib dari kandang tertuduh
11.05 pagi: Peguam bela Muhammad Shafee Abdullah membacakan kenyataan penuh Najib Razak dari kandang tertuduh tahun lepas.

Kenyataan bekas perdana menteri itu dibacakan pada masa itu sejurus sebelum panel mahkamah tertinggi negara sebelum ini, yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, menolak rayuannya dan mengekalkan sabitan bersalah serta hukuman penjara 12 tahun dan RM210 juta denda terhadapnya berhubung kes SRC International pada 23 Ogos 2022.
Dalam kenyataan dari kandang tertuduh, Najib mendakwa sistem kehakiman negara mengecewakannya, dan merungut bahawa dia tidak diwakili secara berkesan selepas usahanya untuk menangguhkan perbicaraan rayuan ditolak, dan dirinya tidak diberi peluang yang saksama untuk menjelaskan di mahkamah mengenainya.
Mahkamah Persekutuan yang kini dipengerusikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli, kemudian menangguhkan prosiding untuk berehat sebentar.
Hakim tegur Shafee - Perbicaraan mengenai semakan bukan rayuan
10.04 pagi: Hakim, Vernon Ong Lam Kiat, mengingatkan peguam Muhammad Shafee Abdullah bahawa perbicaraan hari ini adalah atas permohonan semakan dan bukan rayuan.
Hakim Mahkamah Persekutuan itu memberitahu peguam Najib Razak bahawa hujahan lisannya tidak seharusnya menyimpang kepada merit keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 2020 yang mendapati bekas perdana menteri itu bersalah dan hukumannya dalam kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.

Ong mengingatkan Shafee bahawa ini kerana permohonan semakan itu sendiri sedang dalam proses (berhubung penolakan mahkamah persekutuan terhadap rayuan SRC Najib tahun lepas) dan bukannya merit kes itu.
"Nampaknya kamu lebih menyentuh merit dan bukannya prosedur. Tidak perlu pergi ke situ. Bagi kami ia tidak relevan.
"Kamu sendiri kata dengan jelas hujah kamu (dalam permohonan semakan sekarang) adalah tentang proses. Tetapi menyentuh alasan Mahkamah Tinggi adalah atas merit.
"Fokus pada proses. Ini bukan rayuan," kata Ong.
Rosmah, Nooryana juga di mahkamah
9.37 pagi: Isteri Najib Razak, Rosmah Mansor, yang berbaju merah memasuki kamar mahkamah.
Dia duduk di galeri awam bersebelahan anak perempuannya Nooryana Najwa. Beberapa pegawai dari Penjara Kajang turut berada di galeri awam.
Bekas perdana menteri Najib mengikuti hujahan lisan yang dikemukakan oleh peguam bela utamanya Muhammad Shafee Abdullah dari kandang tertuduh.
Shafee dakwa mahkamah gagal pertimbang 94 alasan rayuan
9.20 pagi: Peguam Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa panel lima hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini - yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat - gagal mempertimbangkan mana-mana daripada 94 alasan rayuan yang dibangkitkan oleh Najib Razak.

Shafee memberitahu mahkamah tertinggi lima anggota sekarang, yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli - bahawa ini kerana Najib pada tahun lalu mempunyai peguam yang tidak berkesan.
Shafee merujuk kepada perbicaraan sebelum ini yang menafikan peguam bela Najib ketika itu Hisyam Teh Poh Teik daripada menarik diri semasa perbicaraan semakan kes SRC pada Ogos tahun lepas.

Ketika itu, Hisyam memohon untuk melucutkan diri kerana mahkamah tertinggi negara menolak permohonan pasukan pembelaan untuk menangguhkan pendengaran rayuan selama tiga hingga empat bulan supaya mereka boleh membuat persediaan untuk rayuan kes SRC.
Mahkamah Persekutuan mula bersidang
9:05 pagi: Panel lima orang Mahkamah Persekutuan mula bersidang, dengan bekas perdana menteri Najib Razak mengambil tempatnya di kandang tertuduh.
Peguam bela utma Muhammad Shafee Abdullah memulakan hujahan lisannya.
Pasukan pendakwaan mula tiba
8.35 pagi: Timbalan ketua pendakwa raya (DPP) V Sithambaram dan DPP lain mula kelihatan di bilik mahkamah, menunggu prosiding bermula.

Ini kemudiannya disusuli oleh pasukan peguam bela yang mewakili Najib Razak.
Permohonan semakan rayuan SRC Najib: Hari ke-3
8.30 pagi: Semalam, Mahkamah Persekutuan antara lain diberitahu bahawa bekas peguam Najib, Hisyam Teh Poh Teik “dipaksa” terus mewakili bekas perdana menteri itu dalam rayuan kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd, walaupun dia memohon untuk menarik diri.
Shafee berhujah bahawa Hisyam telah memaklumkan kepada mahkamah pada 18 Ogos 2022 hasrat untuk menarik diri daripada prosiding rayuan SRC International, atas alasan tidak mempunyai waktu yang mencukupi untuk membuat persediaan.
Pada 26 Julai lalu, Najib menamatkan dengan serta merta perkhidmatan Messrs Shafee & Co daripada mewakili beliau dalam rayuan kes SRC itu, dan kemudiannya melantik Hisyam daripada Messrs Hisyam Teh sebagai peguam utamanya dan rakan kongsi ZIST, Liew and Rueben sebagai peguam cara baharu.

Hisyam sebelum itu telah memohon untuk menangguhkan kes berkenaan bagi tempoh tiga atau empat bulan untuk membolehkan dia membuat persediaan kes itu, namun Mahkamah Persekutuan sebelum ini telah menolak permohonannya.
Shafee berkata susulan keputusan itu, Hisyam memohon untuk menarik diri daripada mewakili Najib, dan mahkamah turut menolak permohonan itu.
Selain Abdul Rahman, anggota panel yang bersidang sama adalah hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat, Rhodzariah Bujang dan Nordin Hassan serta hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais.
Abu Bakar dipilih untuk berada di bangku simpanan berdasarkan Perkara 122 (2) Perlembagaan Persekutuan, demi kepentingan keadilan.

Timbalan Pendakwa Raya ad hoc V Sithambaram bertindak sebagai pihak pendakwaan utama.
Shafee, semalam juga membuat kesimpulan bahawa Najib tidak diberikan perbicaraan yang adil semasa rayuan terakhir tahun lepas.
Najib dalam permohonan semakannya memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas dalam mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda kerana penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Ini adalah percubaan terakhir Najib, 69 melalui prosiding mahkamah untuk mengetepikan keputusan itu.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga telah memfailkan petisyen memohon pengampunan diraja atas sabitan beliau dalam kes SRC International.
Selain itu, Najib juga melalui Tetuan Shafee & Co pada 5 Jan memfailkan petisyen di kepada Kumpulan Kerja Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Penahanan Arbitrari (UNWGAD).
Petisyen itu difailkan di pejabat Suruhanjaya Tinggi Geneva melalui penghujahan digital dan dia memohon pembebasan atau perbicaraan semula berikutan pendengaran rayuan Mahkamah Persekutuan yang didakwanya mempunyai kecacatan serius dan bertentangan dengan peraturan keadilan antarabangsa.
Selain semalam dan hari ini, mahkamah juga menetapkan esok untuk pendengaran permohonan semakan Najib.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/1f139e2baf4bb3afe71eae747afd3a33.jpg)
