Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan dia telah memberi keterangan sebagai saksi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan berhubung projek Jana Wibawa, semalam.

“Saya akan terus memberi kerjasama kepada mana-mana pihak berkuasa jika diperlukan,” kata Tengku Zafrul menerusi catatan di Facebook rasminya hari ini.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata projek Jana Wibawa ditangguh pelaksanaannya bagi meneliti semula sama ada tata cara perolehannya dibuat mengikut peraturan ditetapkan perbendaharaan.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, penangguhan projek melibatkan nilai RM5.7 bilion itu dibuat kerana terdapat unsur kaedah perolehan dibuat secara tender terpilih atau runding terus.

Jana Wibawa, projek yang diusahakan Kementerian Kewangan ketika diterajui Tengku Zafrul di bawah kerajaan pimpinan perdana menteri kelapan Muhyiddin Yassin bertujuan membantu kontraktor bumiputera semasa pandemik Covid-19.

-Bernama