Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (Parti KDM) kembali menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.

Pengumuman itu dibuat selepas parti itu sebelum ini menggesa Hajiji berundur sebagai ketua menteri enam minggu lalu.

Presiden Parti KDM, Peter Anthony dalam sidang media di Kota Kinabalu malam tadi memaklumkan bahawa kepimpinan parti itu sebulat suara memutuskan untuk menyokong Hajiji tanpa syarat.

"Ini bukan pusing-pusing. Ini demi kepentingan awam di Sabah dan bukannya keuntungan peribadi.

"Dasar parti sentiasa menyokong kerajaan semasa," katanya, menurut The Star.

Pada awal Januari lalu, KDM menggesa Hajiji meletak jawatan sebagai ketua menteri selepas dia hilang sokongandaripada BN Sabah.

Bagaimanapun, Hajiji berjaya mengumpulkan sokongan majoriti dan terus mempertahankan jawatan ketua menteri, manakala BN Sabah menjadi pembangkang.

Pada masa ini, KDM mempunyai tiga kerusi dalam 79 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan dua kerusi di Parlimen.

Parti itu ditubuhkan pada Februari 2022 selepas Anthony menarik diri daripada Warisan. Sejurus selepas KDM ditubuhkan, ia berikrar menyokong Hajiji.