Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelebaran lebuhraya Plus jajaran Yong Peng-Senai libatkan kos RM525 juta
Diterbitkan:  Feb 22, 2023 3:15 PM
Dikemaskini: 7:15 AM

PARLIMEN l Kementerian Kerja Raya (KKR) bercadang melebarkan jajaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Yong Peng Utara ke Senai Utara di Johor kepada enam lorong secara berfasa.

Menteri berkenaan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek menaik taraf tersebut diteliti memandangkan aliran trafik di jajaran itu kini terlalu sesak terutama pada hujung minggu dan musim perayaan.

Beliau berkata cadangan projek yang dianggar melibatkan kos RM525 juta itu termasuk dalam Rolling Plan Ketiga, Rancangan Malaysia ke-12.

Namun, Nanta berkata kelulusan bagi peruntukan dana tersebut tertakluk kepada pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat ini berdasarkan kepada keutamaan dan kedudukan kewangan kerajaan.

"Untuk makluman, sekiranya pelaksanaan pelebaran tersebut dilaksanakan dengan menggunakan dana kerajaan, maka tiada kos di pihak syarikat konsesi, bermaksud tiada tambahan tol kepada pengguna lebuh raya," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berkenaan status projek pelebaran lebuh raya tersebut dan implikasi kewangannya.

Nanta berkata bagi keseluruhan pelebaran jajaran sepanjang 195 kilometer dari Ayer Keroh, Melaka ke Johor Bahru, Johor dianggarkan menelan kos berjumlah RM7.5 bilion.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS