Dr Mahathir Mohamad berkata dia akan terus bersuara dan menyatakan pandangan yang dirasakannya benar selagi ada nyawa atau pahit untuk ditelan.

Bekas perdana menteri sebanyak dua kali itu menegaskan kebenaran perlu dinyatakan walaupun yang mahu mendengarnya hanyalah seorang.

Bahkan katanya kebenaran itu mesti dikatakan walau tidak ada sesiapa yang mahu mendengarnya.

"Kebenaran bukan dimonopoli majoriti atau minoriti atau yang tidak hilang deposit (dalam pilihan raya).

"Kalau itulah ukurannya, saya rasa kumpulan minoriti perlu diam dan menerima apa sahaja keputusan majoriti walaupun salah," katanya melalui media sosial hari ini.

Bekas pengerusi Pejuang itu berkata selepas PRU ke-15 dia selalu disuruh berehat atau berdiam diri apabila memberikan sesuatu pandangan kepada orang ramai.

Antara alasan diberi pengkritik terbabit, kata Mahathir, ialah kerana dalam PRU lalu dia kalah teruk - sehingga hilang deposit - semasa cuba mempertahankan kerusi parlimen Langkawi.

"Saya agak hairan kenapa begitu beria-ia mahu saya tidak bersuara. Dulu dikata saya nyanyuk. Sekarang disuruh diam kerana hilang deposit," katanya.

Menurut Mahathir lagi dalam keadaan disuruh diam itu dia akan tetap bertekad memberikan pandangannya untuk didengar oleh "kumpulan yang tidak hilang deposit."