Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan pertimbang benarkan lesen memandu diperbaharui hingga 10 tahun
Diterbitkan:  Feb 22, 2023 5:35 PM
Dikemaskini: 10:01 AM

Kerajaan sedang mengkaji untuk memanjangkan tempoh maksimum pembaharuan lesen memandu sehingga sepuluh tahun berbanding lima tahun sekarang.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata dia telah meminta pegawai-pegawainya mengemukan kertas cadangan berkaitan perkara itu.

“Saya minta boleh diperbaharui terus 10 tahun. 

“Mungkin bayar sekali gus (untuk) 10 tahun,” katanya semasa ucapan penggulungan kementeriannya di parlimen.

Dia juga berkata potongan harga juga mungkin boleh diberikan bagi menggalakkan orang ramai memperbaharui lesen memandu untuk tempoh yang lebih panjang.

“Mungkin akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Kalam Salan (Perikatan Nasional-Sabak Bernam) berkaitan kewajaran memperbaharui lesen memandu.

Kalam juga bertanya sama ada pemansuhan pembaharuan lesen memandu boleh memberi manfaat kepada orang ramai.

Sementara itu, ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pengangkutan (MOT) di Dewan Rakyat hari ini, Loke berkata cadangan menurunkan harga cukai jalan memerlukan kajian menyeluruh memandangkan sebarang keputusan yang diambil akan memberi implikasi kepada kutipan hasil negara.

Menurutnya, kutipan cukai jalan menyumbang kira-kira RM3 bilion kepada hasil kerajaan.

“Kita akan pertimbangkan bagaimana struktur penetapan harga cukai jalan itu dilakukan dan ditetapkan, perlu satu kajian yang menyeluruh untuk melihatnya,” katanya.

Dia menjawab celahan dnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) berhubung kemungkinan kerajaan menurunkan kadar cukai jalan ketika negara kini berada di fasa pemulihan ekonomi dan rakyat menghadapi kos sara hidup yang tinggi.

Dalam pada itu, Loke berkata MOT juga sedang melakukan kajian dalam mencari struktur terbaik untuk kadar cukai jalan kenderaan elektrik (EV).

Dia berkata ketika ini, kenderaan EV masih lagi menikmati pelepasan cukai sehingga tahun 2025 dan MOT mengambil ruang masa yang ada untuk melakukan kajian.

“Struktur cukai jalan bagi kenderaan EV ini mestilah selari dengan dasar kerajaan dalam mempromosikan penggunaan kenderaan EV di negara ini. Jadi nak promosikan EV ini, kita kena pelbagaikan insentif, insentif itu kena ada dan yang penting cukai jalan yang dikenakan nanti, mestilah pada kadar yang kompetitif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui seluruh ekosistem berkait penggunaan kenderaan EV seperti kemudahan fasiliti pengecasan perlu diperkasa bagi menggalakkan penggunaan EV di negara ini.

Lihat Komen
ADS