Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siasatan kes guru dorong pelajar peluk Islam kini di IPK Kuala Lumpur

Polis Cheras sudah menyiapkan siasatan berhubung isu seorang pelajar didakwa diajak memeluk Islam jika mahu peluang besar menyertai pasukan bola sepak kebangsaan.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata kertas siasatan itu sudah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya.

"Kertas siasatan telah dilengkapkan dan dalam proses merujuk kertas siasatan ke pihak IPK Kuala Lumpur untuk rujukan lanjut," katanya kepada Malaysiakini.

Kata Zam Halim mengikut kebiasaannya selepas itu kertas siasatan berkenaan akan diangkat oleh IPK Kuala Lumpur ke Pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan arahan lanjut.

Zam Halim berkata demikian ketika ditanya mengenai status terkini siasatan seorang guru didakwa menggalakkan pelajar tingkatan tiga untuk memeluk Islam.

Guru terbabit didakwa membuat ajakan tersebut dengan alasan ia akan meningkatkan peluang pelajar berkenaan untuk menjadi pemain bola sepak kebangsaan.

Kejadian didakwa berlaku di sebuah sekolah di Kuala Lumpur.

Ibu pelajar terbabit - yang hanya mahu dikenali sebagai Vasan - mendakwa rakan anaknya juga memaklumkan hanya orang Islam dibenarkan memasuki stadium di negara ini.

Ibu bapa pelajar berkenaan telah membuat laporan polis berhubung perkara itu dan pihak polis mengesahkan kertas siasatan dibuka.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan suasana tidak harmoni atas alasan-alasan agama dan awam serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS