Putrajaya tidak bercadang untuk membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kejadian tanah runtuh di Batang Kali baru-baru ini yang disifatkan sebagai bencana maut kedua paling buruk di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Hal Ehwal Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Armizan Ali berkata tiada keperluan untuk membentuk RCI untuk kejadian itu..

“(Ini kerana) jabatan teknikal di bawah Jawatankuasa Antara Agensi Pengurusan Cerun Kebangsaan dapat menjalankan siasatan forensik menyeluruh untuk mengenal pasti punca kegagalan cerun dan mencadangkan langkah-langkah mitigasi yang perlu diambil,” kata Armizan.

Armizan berkata demikian dalam jawapan bertulis parlimen bertarikh 23 Feb, sebagai jawapan kepada Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng yang bertanya sama ada kerajaan perlu membentuk RCI untuk menyiasat secara menyeluruh kejadian tanah runtuh Batang Kali.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) terlebih dahulu membuat gesaan supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat kejadian pada hari tanah runtuh itu berlaku.

“Berkali-kali kami memberi amaran supaya tidak membenarkan kerja tanah dan bentuk aktiviti lain di tanah tinggi dan lereng bukit yang merupakan kawasan sensitif alam sekitar.

“Punca-punca tragedi itu mesti disiasat dan didedahkan secara terbuka,” kata kumpulan alam sekitar itu.

Sekitar jam 2.30 pagi pada 16 Dis 2022, tanah runtuh sepanjang hampir 300 meter dan tinggi 70m melanda tapak perkhemahan di Jalan Genting-Batang Kali.

Tiga puluh satu orang terkorban manakala 61 terselamat. Lapan belas daripada mereka yang maut adalah orang dewasa manakala 13 adalah kanak-kanak.

Pasukan Khas Bantuan dan Menyelamat Bencana Malaysia (Smart) sejak itu berkata tanah runtuh itu adalah bencana kedua terburuk Malaysia dari segi kematian, selepas kondominium Highland Towers yang runtuh pada 1993 dan meragut 48 nyawa.

Selepas kejadian tanah runtuh itu, kebimbangan mengenai peraturan perkhemahan dan pelesenan telah dibangkitkan.

Kerajaan baru-baru ini berkata mereka telah menyediakan draf garis panduan untuk tapak perkhemahan yang akan dimuktamadkan pada akhir April tahun ini.