Lebih 3,000 doktor kontrak letak jawatan sejak 2017
PARLIMEN | Seramai 3,386 daripada 29,548 pegawai perubatan lantikan kontrak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meletak jawatan antara 2017 hingga 2021, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.
Katanya ia melibatkan 110 orang pada 2017, 168 pada 2018, 475 pada 2019, diikuti 511 pada 2020, 768 (2021) dan 1,354 pada 2022.
“Antara sebab peletakan jawatan lantikan kontrak itu ialah kerana mereka memilih untuk berkhidmat dengan sektor swasta dan badan berkanun lain yang menawarkan gaji lebih menarik.
“Selain itu, ada antara mereka yang membuka klinik sendiri, melanjutkan pelajaran, berhijrah ke luar negara, sebab peribadi dan masalah kesihatan termasuk tekanan mental,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KKM di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab celahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) berkenaan kebocoran terhadap aduan buli yang memberi kesan buruk kepada pengadu, Zaliha berkata dia maklum perkara berlaku sekian lama dan membuat penelitian lebih supaya ia tidak berulang.
Zaliha turut menasihati pegawai perubatan berpengalaman (senior) untuk membimbing pegawai perubatan baru (junior) sebagai rakan pembimbing sekali gus memastikan petugas terbabit selesa menjalankan tugas.
Selain itu, dia berkata KKM mengemukakan permohonan peruntukan khusus untuk penambahbaikan dan menaik taraf fasiliti kesihatan di seluruh negara dengan kadar segera.
Hal itu kerana katanya terdapat 1,200 daripada 3,119 klinik kesihatan KKM telah melebihi usia 50 tahun dan berada dalam keadaan daif serta usang, malah sebahagian besar dibina menggunakan struktur kayu.
“Sebab itu KKM komited untuk mendapatkan peruntukan bajet ditingkatkan kepada lima peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) kerana kita lihat kelangsungan pendanaan ini bagi menampung perbelanjaan di fasiliti kesihatan kita,” katanya.
Menurut Zaliha KKM juga akan membentangkan Kertas Putih Kesihatan yang akan menerangkan asas keperluan pembiayaan dan menggariskan strategi penyampaian kesihatan yang ditambah baik.
Sementara itu, ditemui pemberita selepas selesai sesi penggulungan, Zaliha berkata dia menjangkakan Kertas Putih perolehan vaksin Covid-19 dibentangkan pada sidang Jun ini.
Dia berkata ketika ini pasukan kerja bagi merangka kertas putih itu sedang meneliti dan membuat perbandingan dengan laporan yang sudah dibentangkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
KKM sebelum ini dilapor menubuhkan pasukan kerja bagi merangka Kertas Putih perolehan vaksin Covid-19 bagi memastikan ketelusan pelaksanaannya semasa tempoh darurat akibat penularan pandemik.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/757aa5e170412e0588bc17bf502f6266.jpg)
