ULASAN | Kepercayaan sebagai pasak agenda pendidikan tinggi
ULASAN | Selaras dengan dasar pembangunan Malaysia Madani, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengorak langkah proaktif bagi memastikan kementerian bergerak seiring dengan dasar negara.
Perkara ini telah dijelaskan menerusi Amanat Tahun Baru 2023 yang disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin pada 30 Januari 2023 lalu yang menggariskan 11 azam, hasrat, tekad dan fokus yang perlu digerakkan secara bersama dengan semua agensi di bawah KPT.
Antara perkara menarik untuk disentuh dalam amanat tersebut ialah berkenaan kepercayaan yang dijadikan mukadimah sebelum huraian dibentang mengenai 11 fokus yang mendasari Amanat Tahun Baru 2023.
Kepercayaan yang tinggi akan dapat membawa kepada natijah baik yang dapat memacu pendidikan tinggi ke arah lebih cemerlang. Sememangnya dalam usaha mengurus satu agenda besar melibatkan pendidikan negara, kepercayaan merupakan perkara yang sangat penting dan ia perlu menjadi landasan utama untuk masing-masing bergerak ke hadapan merealisasikan impian bersama bagi memajukan sektor pendidikan tinggi negara.
Sesungguhnya kepercayaan adalah elemen yang sangat penting dalam menunaikan sesuatu tanggungjawab sepertimana termaktub dalam al-Quran menerusi firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “... Sesungguhnya sebaik-baik orang yang diambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah (mendapat kepercayaan).” (Surah al-Qasas, ayat 26).
Sheikh Abd al-Rahman Hassan Habanka al-Maidani dalam bukunya Akhlak Islamiah dan Asasnya menyentuh kepentingan elemen kepercayaan termasuk dalam organisasi yang sekiranya hilang elemen tersebut maka manusia akan terpalit dengan kezaliman dan kejahilan.

Justeru, penekanan yang diberikan oleh menteri dalam mukadimah amanatnya dengan menyentuh perihal kepercayaan perlu diambil perhatian yang serius oleh semua pihak lebih-lebih lagi dalam keadaan kepercayaan dilihat sebagai nilai yang ‘semakin mengecil dan terpencil’ pada masa kini.
Sebelas fokus yang digariskan dalam amanat YB Menteri adalah sepertimana berikut:
Menterjemah aspirasi nasional secara tegas, tuntas dan tepat.
Bersifat profesional, adil, objektif dan tidak politikal.
Menilai semula kedudukan kementerian secara keseluruhan.
Memperkukuh kekuatan sumber intelektual Malaysia.
Mengurus pelbagai perubahan dan ledakan teknologi.
Memperkukuhkan peranan Malaysia sebagai 'the lynchpin' kepada bakat dan pengetahuan.
Rombakan besar-besaran terhadap sistem dan ekosistem TVET nasional.
Memastikan IPTS sebagai penyumbang keberhasilan penting dalam sektor pendidikan tinggi
Kualiti dan kecemerlangan akademik.
Memperbaik akses dan rejim pembiayaan pendidikan.
Pemerkasaan mahasiswa.
Kesemua 11 fokus amanat tersebut perlu dilihat secara holistik oleh semua institusi pendidikan tinggi negara. Ini memerlukan satu bentuk gandingan usaha secara bersama yang mesti disulami dengan kepercayaan antara pihak-pihak yang terlibat.
Usaha hadam aspirasi negara
Sebagai sebuah universiti yang berpegang kepada moto ‘Ilmu Demi Faedah Insan’, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) beriltizam untuk terus bergandingan dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta bagi menjayakan kesemua 11 fokus yang digariskan dalam amanat menteri.
Usaha ini sebenarnya berasaskan semangat ‘kepercayaan’ yang nilainya mampu mengorak langkah lebih efisien untuk menjayakan hasrat murni kementerian.
Menyentuh fokus pertama yang menggariskan keperluan seluruh agensi KPT menterjemah aspirasi nasional secara tegas, tuntas dan tepat. Ia adalah langkah yang ideal bagi memastikan pendidikan tinggi negara turut memberi sumbangan yang signifikan terhadap pembangunan negara.
Meskipun sebuah Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (National Review Committee) bakal ditubuhkan dalam masa terdekat, namun semua pihak tidak boleh bersikap ‘tunggu dan lihat’ sahaja.
Usaha menghadam aspirasi negara yang sedang dibawa oleh pentadbiran negara sekarang mesti dilakukan dengan teliti agar usaha sedia ada yang dilakukan di institusi pengajian tinggi (IPT) tidak dibiarkan terbengkalai.

Perkara ini sejajar dengan kerangka Malaysia Madani yang mengariskan penggemblengan usaha bagi mewujudkan masyarakat maju dan bertamadun berdasarkan ilmu pengetahuan, tradisi, khazanah dan kearifan tempatan.
Inilah antara perkara yang boleh dijadikan asas penting dalam usaha memenuhi hasrat pendidikan tinggi negara dengan memanfaatkan kepunyaan sedia ada di semua IPT.
‘Ilmu pengetahuan’ dan ‘kearifan tempatan’ yang digariskan dalam kerangka Malaysia Madani dilihat sangat dekat dengan pendidikan tinggi negara kerana kedua-duanya merupakan tunjang yang menggerakkan setiap IPT di negara ini.
‘Ilmu pengetahuan’ dan ‘kearifan tempatan’ perlu diperkasa di peringkat pendidikan tinggi kerana ia adalah ‘modal’ berharga yang boleh menyumbang ke arah kelestarian sektor pendidikan di negara ini.
Ini sekali gus dapat menyerlahkan kekuatan sesebuah IPT yang terlibat sama sebagai penyelesai kepada masalah yang dihadapi oleh masyarakat sekeliling sama ada melibatkan wabak kesihatan atau perubahan iklim atau krisis tenaga mahupun ‘cognitive war’, yang semuanya disentuh oleh menteri dalam amanatnya.
IPT tidak boleh lagi kelihatan gah dengan percambahan ilmu pengetahuan yang bersifat teori semata-mata, atau berkiblatkan kearifan luar yang tidak membumi di negara Malaysia yang tercinta ini.
Oleh itu, dalam usaha membugar ilmu pengetahuan dengan memanfaatkan kearifan tempatan, semua pihak yang terlibat dalam sektor pendidikan tinggi tidak boleh lagi hanya bergelar jaguh dengan hanya menjadi orang yang pertama tahu, sebaliknya perlu berusaha untuk sentiasa menjadi orang pertama yang melakukan sesuatu kebaikan berasaskan ilmu.
Inilah antara perkara yang pernah dijelaskan oleh Siddiq Fadzil ketika membentangkan kertas bertajuk ‘Pendidikan Islam ASEAN dan Daya Saing Sumber Daya Manusia’ dengan menyebut: “Persaingan pada abad ini bukan lagi persaingan menjadi the first to know, tetapi menjadi the first to do something about it.”
Idea fikir begini perlu diterjemahkan dalam tindakan semua pihak yang berada di IPT agar ilmu pengetahuan dapat dipindahkan kepada masyarakat.
Bertitik-tolak daripada Falsafah UniSZA yang mendokong ‘Integrasi Kecemerlangan Islam dan Kontemporari demi Manfaat Ummah’, penyelidikan yang dijalankan oleh akademia UniSZA mestilah natijah akhirnya membawa manfaat kepada masyarakat.
Pemindahan ilmu
Sebagai contoh projek pemindahan ilmu kepakaran penyelidik dengan kerjasama rakan industri disalurkan kepada usahawan alumni dan petani komuniti setempat melalui penghasilan produk berasaskan minyak pati gelam di Kampung Tok Fakir, Marang dan Kampung Padang Jejawi, Setiu serta projek agropreneur tanaman Melon Manis Terengganu dilihat antara kejayaan yang dapat menyerlahkan kearifan tempatan dengan manfaatnya kembali kepada usahawan alumni UniSZA serta petani komuniti setempat bagi menjana pendapatan.
Pemindahan ilmu yang dapat membawa kebaikan terus kepada masyarakat bukan sahaja dapat menambah kepercayaan mereka terhadap intistiusi pendidikan tinggi, tetapi turut membuka penerokaan ilmu baharu.

Menurut seorang sarjana terkemuka dalam bidang pengurusan ilmu, Prof. Emeritus Ikujiro Nonaka yang juga antara pengasas Model SECI, sesuatu ilmu perlu dipindahkan kepada pihak lain untuk penghasilan pengetahuan baharu yang dapat membantu masyarakat.
Sebagaimana kepercayaan merupakan inti pati penting yang diberi penekanan oleh YB Menteri dalam amanatnya, maka UniSZA turut akan menjadikan kepercayaan sebagai satu perkara penting dalam usaha memacu kecemerlangan universiti.
Oleh itu, Pelan Strategik UniSZA 2023-2030 telah pun menggariskan lima strategi utama yang salah satu daripadanya melibatkan penyelidikan berimpak tinggi.
Bagi mensejajarkan strategi utama tersebut dengan amanat menteri, definisi ‘berimpak tinggi’ perlu diberi perhatian semula agar setiap warga UniSZA tidak hanya memahaminya dengan maksud penerbitan deretan jurnal berimpak tinggi yang nilainya terbatas hanya kepada ‘prestij’, tetapi lebih daripada itu ialah membumikan hasil penyelidikan untuk manfaatnya kembali terus kepada masyarakat.
Mudah-mudahan sebagaimana aspirasi yang dinyatakan oleh menteri dalam amanatnya, semua pihak yang terlibat dalam sektor pendidikan tinggi dapat bersama-sama secara kolektif berusaha menjadikan sektor ini mendapat kepercayaan daripada orang ramai.
Kepercayaan oleh pihak luar terhadap kemampuan IPT negara ini perlu terus diusahakan sepertimana perencanaan sebelum ini, namun pada kali ini, kepercayaan warga Malaysia perlu diberi perhatian serius.
Akhirnya nanti sektor pendidikan tinggi akan diakui berfungsi sebagai antara penyumbang utama kepada usaha membawa Malaysia maju ke depan berteraskan dasar asas dan aspirasi nasional.
FADZLI ADAM adalah naib canselor dan profesor kanan di Universiti Sultan Zainal Abidin.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/31645e2f6c22801383e4c919dc7c74ee.jpg)
