Lima pengeluar makanan ayam berdepan MyCC bulan depan
PARLIMEN l Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa lima syarikat pengeluar makanan ayam akan berdepan dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia atau MyCC bulan depan sebagai sebahagian daripada siasatan penetapan harga yang sedang dijalankan,.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub berkata lima syarikat itu telah mengemukakan representasi bertulis mereka pada 31 Jan dan siasatan pada bulan depan.
“Selepas itu, MyCC dijangka mengeluarkan keputusan akhir dalam suku ketiga tahun ini,” katanya.

MyCC sedang menyiasat lima syarikat yang didakwa melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 yang merujuk kepada satu perjanjian antipersaingan atau kartel dalam pasaran makanan ayam.
Syarikat itu adalah Dinding Poultry Development Centre Sdn Bhd, FFM Bhd, Gold Coin Feedmill (Malaysia) Sdn Bhd, Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn Bhd dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd.
Salahuddin berkata demikian semasa menjawab soalan Abdul Hadi Awang (PN-Marang) yang meminta kerajaan memperincikan apa yang telah dilakukan untuk memansuhkan kartel dan memastikan bekalan bahan mentah mencukupi bagi menangani kos sara hidup rakyat.
Menurut Salahuddin, MyCC telah menjadikan sektor makanan dan pertanian sebagai fokus utama dan akan bertindak menentang sebarang kartel.

“Penalti kewangan yang boleh dikenakan adalah sehingga 10 peratus dari pusing ganti dunia (worldwide turnover) perusahaan tersebut dan mereka boleh disenaraihitamkan jika kartel mereka berkait dengan perolehan kerajaan.
“Usaha kerajaan tidak terhenti di situ dalam menggerakkan MyCC untuk membantu kerajaan mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya.
Selain itu, katanya, kerajaan juga akan meminda Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 untuk membolehkan siasatan dan penguatkuasaan yang lebih baik serta memperkenalkan rejim kawalan penggabungan.
“(Pindaan ini akan) memberi kuasa kepada MyCC mengenakan tindakan intervensi awal (ex-ante) terhadap pembentukan kartel atau monopoli baru melalui pengawalan aktiviti penggabungan,” katanya lagi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/06/995c36b24cc08c1e3d9417dd153429c9.jpg)
