SIS: Hentikan 'obsesi' untuk kawal cara wanita berpakaian
Sisters In Islam (SIS) menggesa kerajaan untuk bersuara mengenai isu pengawasan moral berkaitan cara wanita berpakaian, menyifatkannya sebagai kian meningkat.
"Ia amat membimbangkan apabila tindakan pengawasan moral terus berlaku di Malaysia. SIS menolak dengan keras sebarang usaha oleh kerajaan, institusi awam atau sektor swasta untuk memaksa perempuan berpakaian mengikut peraturan dan standard mereka.
"Tindakan ini merupakan salah satu bentuk pelanggaran hak dan gangguan terhadap perempuan yang memilih pakaian dengan sendiri serta memperlekehkan maruah dan autonomi mereka," kata NGO itu dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu sebagai respons kepada penguatkuasaan Pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2022 terhadap lelaki dan wanita Muslim yang dilihat berpakaian mencolok mata, serta seorang wanita yang diarahkan keluar dari bangunan Parlimen kerana memakai skirt paras lutut yang terbelah.
Berpakaian tidak sopan di tempat awam dan mendedahkan bahagian tubuh pada pandangan umum merupakan kesalahan syariah di Terengganu.
Ia selaras dengan pindaan Seksyen 34 dan 35 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2022 yang diluluskan sidang DUN Terengganu pada 1 Disember lalu.

"Terdapat beberapa laporan menyatakan perempuan dikenakan tindakan pengawasan terhadap pemakaian mereka. Satu contoh terbaru yang berlaku di Terengganu adalah di mana Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Hanafiah Mat mengumumkan tindakan akan diambil terhadap perempuan yang tidak mematuhi pemakaian 'patuh syariah' di Terengganu.
“Kami juga mengkritik sebarang usaha atau cubaan untuk memalukan perempuan secara terang-terangan dengan memaksa kod pemakaian terhadap mereka, seperti yang dilihat menerusi kenyataan Hanafiah dan tindakan pegawai keselamatan di Parlimen yang menghalau perempuan hanya kerana pemakaiannya.
"Pemaksaan kod pakaian seperti ini merendahkan martabat perempuan dan mewujudkan suatu perasaan takut dan ketidakselesaan terhadap perempuan di mana mereka sentiasa merasakan mereka dipantau dan dihakimi orang ramai," tambahnya.kata SIS lagi.
SIS berkata penting bagi institusi awam dan swasta serta orang ramai untuk "mengakhiri obsesi" untuk mengawal golongan perempuan, terutama berkenaan cara berpakaian.
"Hentikanlah tindakan meletakkan sesuatu standard tentang apa yang sesuai dan betul untuk perempuan kerana ia bersifat misoginis dan seksis," kata NGO itu lagi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/02/ff8194f70d3cf04ee5dadb75062cf58c.jpg)
