Hanya orang jahil takut dengan replika - Hadi
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengingatkan orang ramai terhadap layanan pilih kasih penjajah terhadap umat Islam, “sehinggakan diharam untuk membawa pedang kayu”.
Abdul Hadi berkata, begitulah sikap penjajah terhadap negara Islam di seluruh dunia, tidak terkecuali di Malaysia.
Ahli Parlimen Marang berkata, perkara sebegitu dilakukan di Palestin ketika dijajah British supaya mereka menyerahkan tanah air kepada Yahudi mengikut terma Perjanjian Balfour 1917.
"Mereka sendiri dalam keadaan bersenjata, tetapi sebaliknya rakyat Palestin pula diharamkan memiliki senjata. Oleh itu, dikuatkuasakan undang-undang yang mengharamkan senjata, sehinggalah kepada senjata yang paling kuno, seperti pedang, keris dan lain-lain.
"Alasan yang digunakan kononnya bertujuan menjaga keamanan dan keselamatan, pada masa yang sama mereka mengganas terhadap rakyat dengan semua senjata yang dimiliki. Maka, jelas sekali bahawa alasan menjaga keselamatan itu hanyalah untuk diri mereka sahaja, tidak bagi umat Islam.
"Pada zaman penjajah dahulu, polis Melayu diberikan senjata belantan kayu, manakala polis berbangsa Inggeris pula diberikan pistol. Demikianlah umat Islam begitu sekali dihina," tulis Abdul Hadi melalui artikel Minda Presiden yang disiarkan di Facebooknya, hari ini.
Tulisan Abdul Hadi itu dibuat selang beberapa hari selepas PAS dikritik kerana mengenakan pakaian perang dan replika senjata ketika perarakan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit 2023) baru-baru ini.

PAS dikritik sebagai boleh menimbulkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat.
Pemimpinnya bagaimanapun mempertahankan acara itu dengan menyamakannya dengan acara cosplay, persembahan opera serta perarakan Hari Kebangsaan dan Hari Pahlawan.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menghantar kertas siasatan berhubung Himpit kepada pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Terengganu.
Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa berkata pihaknya melengkapkan siasatan setelah mengambil keterangan 36 individu melibatkan penganjur dan peserta program.
Pihaknya masih menunggu arahan selanjutnya daripada PPN dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 14 Akta Hasutan Kesalahan Kecil 1955
Semenara itu, Abdul Hadi berkata Islam mengharamkan senjata pemusnah seperti bom atom dan senjata nuklear yang lebih ganas daripada binatang.
Islam juga katanya mengharamkan jenayah membunuh diri sendiri dan orang lain kerana dihitung dalam perkiraan dosa besar yang keras hukumnya di dunia dan di akhirat.
Bahkan katanya umat Islam paling beradab dalam menggunakan senjata, kerana hukum syariat Islam telah menentukan sempadan dosa dan pahala dalam semua perkara.
"Maka, jika ada orang Islam yang merasa risau melihat replika kayu atau plastik yang tidak boleh membunuh berada di tangan orang Islam, keadaan itu menunjukkan mereka itu sangat jahil murakkab.
"Adapun buruk sangka daripada kalangan bukan Islam dan munafik terhadap perkara tersebut, biarkan ia musnah dengan kemarahan yang melulu itu," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/29e18440edb6d497c4feb333d9bfe07a.jpg)
