Pemuda Bersatu membidas cadangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menggabungkan institusi-institusi yang ditugaskan mengendalikan pelaburan bumiputera.

Ketua Pemuda Bersatu Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir menuduh Anwar meneruskan "agenda kesamarataan" yang menurutnya merupakan langkah “regresif” yang akan melumpuhkan usaha membangunkan ekonomi bumiputera.

Katanya rancangan itu sepatutnya membuatkan orang ramai mempersoalkan apakah peranan Umno dalam kerajaan.

"Orang Melayu perlu bangkit dan tanyakan apakah matlamat yang ingin dicapai melalui agenda ini, kerana menerusi penstrukturan semula yang hanya diperindahkan nama sebagai 'reformasi institusi', namun kesan yang akan ditanggung kelak adalah ke atas pegangan orang Melayu itu sendiri.

"Termasuk dari jangkaan pengurusan sumber yang tidak efisien dan kebarangkalian peruntukan yang akan mengecil atau terhad.

"Inilah suatu perkara yang jelas tampaknya betapa Anwar dengan dasar ekonomi liberalnya langsung tidak benar-benar peduli dengan nasib dan kemajuan ekonomi orang Melayu," katanya.

Dalam ucapan Belanjawan 2023 hari ini, Anwar mencadangkan untuk menyatukan agensi kerajaan dan badan berkanun yang mempunyai pertindihan atau fungsi yang serupa untuk menjadikan ia lebih cekap.

Dia memberi contoh agensi yang ditugaskan untuk menguruskan pelaburan bumiputera, dan agensi yang menyelia syarikat permulaan dan inovasi.

"Kerajaan mencadangkan penstrukturan semula institusi yang memperkasa pegangan pelaburan bumiputera dengan menggabungkan Yayasan Pelaburan Bumiputra, Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera serta Yayasan Ekuiti Nasional dalam tempoh terdekat.

"Kerajaan juga meneliti keperluan menstruktur semula semua agensi yang mengawal selia dan menyelaras ekosistem syarikat pemula dan inovasi. Ini penting supaya dapat diselaraskan dengan lebih efektif usaha membangunkan syarikat pemula tempatan dari peringkat permulaan hinggalah berjaya disenarai di Bursa Malaysia," kata Anwar.

Sementara itu, Mohd Ashraf turut mengkritik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said berhubung jawapan parlimen semalam bahawa Felda tidak dapat meneruskan pelupusan hutang RM8.3 bilion yang diumumkan Muhyiddin Yassin pada 2021.

Mohd Ashraf berkata ini menambahkan lagi keperitan ekonomi rakyat dengan meletakkan peneroka Felda kembali berhutang, manakala kerajaan masih tidak bercadang untuk meringankan beban selain langkah jangka pendek seperti program Menu Rahmah yang menurutnya tidak mampan.

Bagaimanapun, Felda telah mengeluarkan penjelasan bahawa inisiatif Muhyiddin telah pun selesai pada 2021, melibatkan pelupusan RM8.3 bilion daripada hutang RM12.1 bilion.

"Keputusan ini tidak pernah dibatalkan oleh mana-mana Kerajaan termasuk Kerajaan Perpaduan dan semua peneroka yang menandatangani perjanjian pelupusan hutang tersebut telah menikmati maanfaat dengan bayaran kembali pinjaman yang jauh lebih rendah dan mampu dibayar," kata Pengerusi Felda Idris Jusoh.

Bagaimanapun, Felda tidak dapat menawarkan pelupusan hutang kali kedua, memandangkan langkah 2021 telah menjejaskan aliran tunainya.

"Bayaran kembali baki pinjaman kini akan diteruskan seperti perjanjian pelupusan hutang tersebut demi menjamin kelangsungan organisasi dan membolehkan Felda terus menjaga kebajikan warga peneroka," katanya.