Calon DAP janji bawa isu pajakan ke DUN
Calon DAP, Liou Chen Kuang berjanji jika dipilih dalam pilihanraya kecil Machap 12 April ini akan mengemukakan usul di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bagi melanjutkan tempoh pajakan tanah bagi penduduk di sekitar Kampung Machap Umboo selama 99 tahun tanpa dikena sebarang bayaran.
Calon DAP, Liou Chen Kuang berjanji jika dipilih dalam pilihanraya kecil Machap 12 April ini akan mengemukakan usul di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bagi melanjutkan tempoh pajakan tanah bagi penduduk di sekitar Kampung Machap Umboo selama 99 tahun tanpa dikena sebarang bayaran.
Katanya, jika kerajaan enggan melanjutkan tempoh pajakan bagi tanah tersebut, maka penduduk di kawasan terbabit akan kehilangan tempat kediaman mereka.
"Fokus utama saya adalah masalah tempoh pajakan tanah selama 60 tahun di Kampung Machap Umboo yang tidak dapat dilanjutkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Saya bersedia untuk mengemukakan usul dalam DUN Melaka supaya tempoh pajakan tanah di Kampung Machap Umboo dapat dilanjutkan selama 99 tahun lagi tanpa dikenakan sebarang bayaran," tambahnya..
Kawasan Machap, katanya, menghadapi pelbagai masalah kekurangan infrastruktur dan tempoh pajakan tanah yang terlalu pendek.
Sehingga hari ini, katanya, tempoh pajakan tanah bagi sebilangan besar penduduk di sekitar Kampung Machap Umboo tidak lebih daripada 30 tahun.
' Janji kosong'
"DAP berharap kerajaan akan melanjutkan tempoh pajakan selama 99 tahun tanpa dikenakan sebarang bayaran bagi menjamin hak menghuni penduduk di sini.
"Kami tidak ingin melihat BN hanya membuat janji-janji kosong, termasuk mengugut pengundi jikalau bilangan undi BN kali ini berkurangan, maka tempoh pajakan tanah tersebut tidak akan dilanjutkan," kata Liou.
Katanya, berdasarkan pengalaman pilihanraya negeri Sarawak tahun lalu, BN berjanji untuk melanjutkan semua tanah yang sudah hampir genap tempoh pajakannya.
"Namun, tempoh pajakan masih belum dilanjutkan sehingga hari ini," katanya.
Katanya, masalah tempoh pajakan tanah itu tidak boleh diselesaikan melalui janji-janji kosong "tetapi dengan mengundi calon DAP bagi menyampaikan mesej yang jelas kepada BN supaya kerajaan menangani masalah tersebut."

