Pengerusi DAP Lim Guan Eng membidas Presiden PAS Abdul Hadi Awang kerana mendakwa Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan dengan mendapatkan undi bukan Islam dan memberi amaran bahawa Malaysia boleh dikawal oleh bukan Islam jika orang Melayu mempunyai kesedaran politik yang rendah.

Dalam satu kenyataan, ahli parlimen Bagan itu menyifatkan Abdul Hadi sebagai meneruskan kempen sabotaj yang sistematik.

"Hadi memetik sebagai bukti peratusan keluar mengundi pengundi Islam sebanyak 68 peratus berbanding dengan peratusan keluar mengundi bukan Islam sebanyak 98 peratus.

"Ini adalah palsu dan mesti didedahkan sebagai pembohongan. Peratusan keseluruhan sebenar untuk pilihan raya ialah 74 peratus. Penyelidik Bridget Welsh telah menyanggah Abdul Hadi dengan menyatakan bahawa orang Melayu mempunyai peratusan keluar mengundi terbaik dalam kalangan semua kaum pada 79 peratus," katanya.

Lim merujuk kepada siri kenyataan daripada Abdul Hadi yang menyatakan kebimbangan orang bukan Islam akan memerintah negara.

Lim turut mempertikaikan dakwaan Abdul Hadi bahawa kerajaan perpaduan adalah kerajaan bukan Islam.

"Daripada 148 ahli parlimen yang menyokong kerajaan perpaduan, lebih separuh atau 77 adalah ahli parlimen Islam, menepis naratif palsu bahawa kerajaan perpaduan dikuasai oleh ahli parlimen bukan Islam.

"77 ahli parlimen muslim dalam kerajaan perpaduan berbeza dengan 72 daripada 74 ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) yang beragama Islam.

"Dalam erti kata lain, lebih ramai ahli parlimen muslim dalam kerajaan perpaduan berbanding pembangkang PN. Namun Hadi meneruskan naratif untuk menonjolkan sentimen pelampau bagi mengurung undi muslim tanpa mengambil kira orang bukan Islam di Malaysia," katanya.

Lim menekankan bahawa Malaysia adalah milik semua rakyat, termasuk bukan Islam.

"Usaha Abdul Hadi untuk terus menyisihkan orang bukan Islam bukan sahaja salah tetapi juga menentang titah Yang Dipertuan Agong supaya menghormati kepelbagaian dan toleransi dalam masyarakat kita yang berbilang kaum," katanya.