Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meneruskan perbincangan dengan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengenai isu gaji dan upah penjawat awam serta hal berkaitan peningkatan kos sara hidup.

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata perkara itu dimaklumkan Dr Zulkapli Mohamed ketika mereka melakukan kunjungan hormat terhadap Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang baru itu hari ini.

Adnan berkata Cuepacs dimaklumkan perdana menteri sudah mempunyai perancangan dalam soal kadar gaji dan upah penjawat awam agar mereka mempunyai pendapatan boleh guna yang selesa dan sentiasa komited melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

"Cuepacs menghargai keprihatinan perdana menteri berhubung isu kadar gaji dan upah penjawat awam yang menurut pandangan beliau tidak setara berbanding tugas serta komitmen yang diberikan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena perjumpaan dengan KPPA itu.

Adnan berkata permintaan penjawat awam agar kerajaan menilai semula kadar gaji dan upah perkhidmatan awam sememangnya berasas berikutan kos sara hidup ketika ini meningkat dengan begitu drastik.

"Komitmen perdana menteri untuk melihat semula isu kadar gaji dan upah untuk perkhidmatan awam apabila kewangan negara bertambah baik kelak sesungguhnya memberi harapan kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam," katanya.

Cuepacs juga menyeru warga perkhidmatan awam agar bersabar buat sedikit masa untuk memberi ruang kepada kerajaan mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan yang menghimpit penjawat awam.

"Terjemahkan sokongan tersebut melalui komitmen kerja yang tinggi bagi menjayakan setiap aspirasi Malaysia Madani agar negara dapat mendepani cabaran yang mendatang demi kemakmuran rakyat," katanya.

Pada masa sama, Adnan berkata Cuepacs yakin dengan gandingan kepimpinan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Mohd Zuki Ali dan Zulkapli dalam membawa suara dan aspirasi penjawat awam untuk perhatian dan tindakan kerajaan.

Dia berkata keterbukaan Mohd Zuki dan KPPA mendengar pandangan Cuepacs dalam setiap sesi libat urus amat dihargai.

"Cuepacs berharap KSN dan KPPA terus berunding dengan kerajaan bagi mencari penyelesaian terbaik untuk membantu menyelesaikan isu dan penjawat awam terutama dalam hal melibatkan peningkatan kos sara hidup serta kadar gaji yang setimpal," katanya.

- Bernama