Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ziarah 58 kenduri: Kad laporan MP cetus polemik
Diterbitkan:  Mar 2, 2023 6:56 PM
Dikemaskini: 10:59 AM

Perkongsian kad laporan 100 hari Ahli Parlimen Kepada Batas Siti Mastura Muhammad menimbulkan polemik di kalangan pengguna media sosial.

Bagi pengkritik, mereka mempersoalkan alasan Siti Mastura menyenaraikan "majlis perkahwinan dan kenduri kesyukuran" selain "ziarah kematian" dalam kad laporan itu.

"Kalau ziarah orang mati pun dikira sebagai pencapaian, baik orang Kepala Batas lantik penggali kubur je jadi ahli parlimen," kata seorang pengguna Twitter.

"Ziarah orang mati dan kenduri kahwin, tak payah jadi ahli parlimen pun boleh buat. Tunjuk real achievements (pencapaian sebenar) lah," kata seorang pengguna Twitter lain.

Penyokong Siti Mastura pula memuji kad laporan itu yang menyenaraikan "ziarah dan bantuan kepada mangsa musibah" serta "ziarah dan bantuan warga emas/OKU/orang sakit/asnaf".

"Semoga dipermudahkan. Walaupun dianaktirikan, walaupun peruntukan tiada, kerja masih jalan. Kagum dengan orang PAS dan pihak yang tolong bagi bantuan untuk dana untuk teruskan perjuangan ni," kata pengguna di Facebook.

"Tahniah YB. Walaupun tak ada peruntukan tapi bantuan kepada rakyat Kepala Batas tetap ada. Alhamdulillah," kata pengguna Facebook yang lain.

Kategori lain dalam kad laporan 100 hari itu ialah "pertemuan bersama agensi kerajaan", "pemudahcara aduan rakyat", "program bersama NGO dan masyarakat", serta "bangkitkan isu rakyat Kepala Batas di Sidang Parlimen Dewan Rakyat".

Kad laporan seumpamanya biasanya dikongsi oleh wakil rakyat untuk menunjukkan pencapaian mereka dalam tempoh tertentu.

Bagaimanapun, beberapa wakil rakyat sebelum ini turut dikecam kerana menyenaraikan ziarah kenduri atau kematian sebagai salah satu kategori dalam kad laporan mereka.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Siti Mastura untuk mendapatkan maklum balas.

Lihat Komen
ADS